Biggs Automotive Company (BAC) memilih untuk meraikan tindakan menamatkan pengeluaran kereta satu tempat duduknya, Mono dengan melancarkan versi edisi khas.

Mono edisi khas itu dipanggil Mono One dan hanya tiga unit kereta itu akan dibina. Satu berwarna putih Iconic, kedua merah Neon dan terakhir hitam Carbon. Harga kereta ini ialah £158,950 (RM850,969).

Ketiga-tiga unit kereta istimewa itu mempunyai bahagian bawah badan dengan binaan gentian karbon, rim gentian karbon istimewa, pelekat badan baharu dan plet peringatan sebagai ciri standard.

"Mono One menandakan tamatnye satu era penting bagi Mono dan BAC. Kami mahu beri cara penghormatan terbaik untuk Mono dan mencipta tiga unit kereta istimewa untuk tujuan ini.

"Ciri yang dimiliki Mono One adalah tawaran serius untuk golongan pengumpul kereta," kata Pengasas Bersama BAC dan Pengarah Reka Bentuk, Ian Briggs.

Beliau menyatakan kini sudah tiba masanya untuk model generasi BAC Mono dan memberi bayangan sesuatu menanti di Geneva tidak lama lagi.

Model pengganti Mono akan dipertontonkan pada bulan depan di Pameran Motor Geneva, pengeluaran akan bermula pada musim panas 2021.