WATCH
Beg udara untuk pejalan kaki
Jika sebelum ini, beg udara diperkenalkan dalam kereta. Selepas itu, teknologi beg udara pula diserapkan ke dalam jaket penunggang motosikal.
Tujuannya adalah cuba menyelamatkan nyawa jika terlibat dalam kemalangan. Bagaimana pula dengan pejalan kaki?
Kini ada khabar berita baik untuk mereka yang sudah berusia dan gemar berjalan kaki tetapi bimbang cedera pinggang ketika terjatuh atau dilanggar kenderaan. Perkenalkan Hip’Air iaitu beg udara untuk pejalan kaki.
Harus diakui, kadar perlindungannya tidak menyeluruh pada semua anggota badan. Ia cuma melindungi bahagian pinggang.

Produk ini diperkenalkan ketika pameran CES oleh syarikat Helite.
Harga runcitnya ialah AS$790 (RM3,170) dan ini belum kira harga AS$50 (RM200) untuk tong gas (kegunaannya hanya sekali).
Beg udara tali pinggang menggunakan giroskop dan akselerometer untuk mengesan impak jatuh dalam tempoh 200 milisaat.
Beg udara akan dikembangkan dalam tempoh 80 milisaat. Helite menganggarkan purata masa seseorang jatuh ialah 400 milisaat.

Dua beg udara di atas pinggang akan menyerap 90 peratus impak jatuh berbanding kadar 10 peratus pada sehelai seluar dalam biasa yang mempunyai pelapik.
Tali pinggang seberat 997 gram mempunyai kancing plastik di hadapan. Ada anak panah menunjukkan hala sebenar untuk memakainya. Jika silap pakai, ada bunyi amaran akan kedengaran.
Helite adalah syarikat sama yang mengeluarkan beg udara untuk jaket penunggang motosikal. Produk Hip’Air akan dilancarkan di Eropah pada Mac ini sebelum tiba di Amerika Syarikat pada September.
Sumber: Helite.
Must-Watch Video