Sekiranya anda seorang yang gila modifikasi kereta, kos yang tinggi untuk ubah suai mungkin sudah biasa di dengar bagi menghasilkan kenderaan lebih unik, berprestasi dan bergaya.

Begitu juga paparan kali ini, apabila Perodua Myvi keluaran 2007 diubah suai secara menyeluruh dengan kos RM75,000 yang mengambil masa dalam setahun.

Menariknya, Perodua Myvi itu menggabungkan konsep Daihatsu Boon X4 termasuk menggunakan pacuan empat roda (4WD) yang ternyata lebih unik berbanding jentera modifikasi lain.

Pemiliknya, Mohd Nazim Goriman, 37, berkata kos mahal itu berikutan dia mahu menggunakan komponen baharu serta ‘rare’ yang dibeli dalam talian di Jepun.

Menurutnya, pemilihan komponen baru itu kerana dia mahu kereta kelihatan menarik serta tidak mempunyai calar atau rosak berbanding dibeli di kedai kenderaan potong yang tidak terjamin kualitinya.

“Pada luaran sahaja, kenderaan ini menggunakan komponen Daihatsu Boon X4, selain dilengkapi kit badan Modellista membabitkan lip depan dan belakang serta skirt sisi yang berharga RM7,000.

“Bahagian bonet dan dapra pula, ia dilengkapi produk daripada gentian karbon bagi memberi sedikit kelainan serta tampak garang,” katanya.

Bagi memberi lebih unik, jentera itu menggunakan enjin Daihatsu Boon 1.0 Liter X4 4WD Turbo yang diketahui sangat mahal selepas dibeli secara 'halfcut' kira-kira RM10,000.

Enjin itu dinaik taraf dengan omboh besar daripada 72 kepada 73mm, selain dilengkapi dengan sistem turbo VF33, Blow Off Greddy dan Tial Wastgate.

Pada masa sama, sistem ekzosnya pula dilengkapi jenama berprestasi membabitkan HKS Hiper Silent yang pastinya menawarkan lebih prestasi kepada kereta berkenaan.

Jika menjengah ruang dalaman, sudah pastinya anda terpegun dengan modifikasinya yang cukup kemas seolah-olah seperti kereta baru.

Papan pemuka asal ditukar kepada Daihatsu Boon X4 yang dihiasi beberapa empat meter Defi dan pada bahagian tiang sisi pula dilengkapi pembesar suara. Panel pintu dan tempat simpanan Daihatsu Boon X4 turut digunakan yang dibeli baru dengan harga mencecah RM2,000.

Selain itu, ia dilengkapi dengan tempat duduk bucket Recaro daripada Honda Integra (DC5) merah serta padanan stereng Momo Euro.

Boleh dikatakan, semua komponen yang ada pada kereta itu mengikut barang dalam katalog bagi model Passo dan Boon.

Bukan itu sahaja, sistem audio turut dinaik taraf dengan jenama Carozzeria premium lengkap dengan subwoofer, twiter dan amplifier yang menelan belanja hampir RM15,000.

Menariknya, kira-kira 60 peratus daripada jentera itu adalah hasil tangan Mohd Nazim sendiri yang juga pemilik bengkel Modellista Autopart Services di Pandan Mewah, Selangor.

Jika anda mempunyai kereta ubah suai dan mahu berkongsi dengan kami. Anda boleh menghantar pesanan kepada kami melalui Facebook Page Drebar.my.