Tempatan

Bentley Bentayga Hybrid Facelift Tampil Imej Segar

gempak
Erywan
22/01/2021
07:53 MYT
Sponsor Banner
Bentley Bentayga Hybrid Facelift Tampil Imej Segar
Bentley membuka tirai tahun 2021 dengan memperkenalkan Bentayga Hybrid versi facelift yang menjadi varian ketiga dalam barisan SUV mewah itu selepas Bentayga V8 dan Bentayga Speed.
Memanfaatkan bahasa reka bentuk terbaru Bentley, Bentayga Hybrid kini mempunyai jeriji yang lebih besar, manakala kedudukan lampu Matrix LED-nya dinaikkan ke atas sebanyak 30mm, sekaligus memberikan model ini penampilan yang lebih atletik. Perubahan pada bahagian belakang lebih dramatik dengan kehadiran lampu berbentuk elips baharu.
Ruang kabin pula menampilkan trim pintu dan stereng baharu, manakala konsol tengah dan kluster instrumen digital telah direka semula. Kerusi juga dikatakan mempunyai bentuk yang lebih selesa berbanding sebelum ini. Bentley menawarkan dua konfigurasi tempat duduk iaitu lima tempat duduk dan empat tempat duduk dengan dua kerusi individu.
Dari segi kelengkapan pula, Benteyga Hybrid kini mempunyai skrin sentuh berukuran 10.9 inci yang dengan lapisan anti-pantulan dan anti-silau, serta fungsi sentuhan yang lebih baik. Selain sistem navigasi, skrin ini boleh memaparkan aliran tenaga bagi setiap mod pemanduan. Turut disertakan adalah paparan ‘head up’ dengan maklumat trafik, nama jalan dan jarak ke destinasi, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta port USB-C.
Seperti sebelum ini, Bentayga Hybrid dikuasakan oleh gabungan enjin twin-turbo 3.0-liter V6 dan sebuah motor elektrik yang mendapat bekalan kuasanya dari sebuah bateri lithium berkapasiti 17.3kWh. Gandingan ini menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 449PS dan 700Nm, dengan pemanduan elektrik sejauh 50km dan jarak pemanduan keseluruhan mencecah 862km berdasarkan kitaran NEDC.
Pemandu boleh menguruskan tenaga bateri semasa kenderaan bergerak dengan menekan butang mod pemanduan untuk memilih salah satu daripada tiga mod yang disediakan iaitu EV Drive, Hybrid dan Hold. Sementara itu, pengecasan penuh pula dikatakan mengambil masa kira-kira dua jam setengah.
Bentley menjangkakan Bentayga Hybrid akan menjadi varian paling laris kerana data dalaman syarikat itu menunjukkan bahawa lebih 90 peratus daripada pemilik model ini memandunya setiap hari dan hampir 100 peratus daripada mereka menggunakan mod pemanduan elektrik. Apa yang lebih menarik, separuh daripada mereka selalunya memandu kurang dari 48km, bermakna majoriti daripada perjalanan itu dilakukan tanpa menggunakan setitik petrol pun.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live