Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Antarabangsa

Bentley EXP 100 GT, jeriji hadapan ada 6,000 lampu LED

Erywan 23/07/2019 | 01:55 MYT

Bentley meraikan ulang tahun ke-100 dan bagi memastikan ia sesuatu yang istimewa, firma itu memperkenalkan satu model konsep baharu.

Model konsep itu bukannya kenderaan era lama tetapi produk futuristik untuk masa hadapan.

Jentera konsep EXP 100 GT ini adalah berkuasa elektrik dan bersifat autonomi. Ia sudah diperkenalkan di ibu pejabat Bentley di Crewe baru-baru ini.

Selayang pandang, ia kelihatan seperti model tourer mewah bagi tahun 2030-an dan reka bentuknya cukup memukau jika dilihat daripada mana-mana sudut.

Binaannya menyaksikan padanan garisan badan dan lekuk yang merupakan warisan Bentley.

Reka bentuk paling menonjol pada EXP 100 GT adalah gril hadapannya yang dilengkapi 6,000 lampu jenis LED yang dipisahkan dengan kepingan tembaga nipis.

Lampu hadapan bukannya berkembar dua seperti model-model lain tetapi hanya satu bulatan. Identiti warisan kekal adalah hud hadapannya.

Kereta konsep ini adalah sepanjang 5.8 meter (m) dengan 2.5m lebar dan mempunyai berat 1.9 tan. Percaya atau tidak, jentera ini banyak menggunakan binaan badan daripada material aluminium dan gentian karbon.

Di bawah hud, kuasa menggerak jentera konsep ini adalah rangkaian kuasa elektrik dengan kuasa tork 1,500Nm.

EXP 100 GT mampu pecut antara 0 sehingga 96 kilometer sejam dalam masa 2.5 saat dengan kelajuan maksimum 300km/j.

Kuasa bateri membolehkannya berjalan sejauh 700km dengan hanya sekali cas. Bentley mendakwa model ini boleh dicas hingga 80 peratus kuasa bateri dalam 15 minit.

Bentley bagaimamapun tiada rancangan untuk mengkomersialkan kereta EXP 100 GT ini dalam bentuk sebegini.

#Bentley #Drebar #EXP100GT
;