Bentley pernah memperkenalkan model edisi terhad Bacalar sekitar bulan Mac lalu, sepatutnya pada Pameran Motor Geneva, tetapi acara itu dibatalkan disebabkan pandemik Covid-19.

Firma automotif itu pernah mempertontonkan model prototaip dan kini bakal membina 12 buah kereta sebenar untuk pelanggan, dijangka dikirim pada tahun depan.


Bacalar sebenarnya menggunakan asas seperti model Continental GT, tetapi kedua-dua model bukannya berkongsi panel badan sama. Khabarnya, kedua-duanya berkongsi pemegang pintu sahaja.

Bentley menghasilkan kereta edisi terhad tanpa bumbung ini dengan penggunaan 750 komponen baharu, ciptaan baharu. Menariknya ialah hampir 100 komponen itu adalah produk cetakan tiga dimensi.


"Bacalar Car Zero ialah prototaip penting yang kami gunakan untuk memulakan rekaan sebenar, kejuruteraan dan pembinaan masa hadapan Bentley Mulliner," kata Paul Williams, Pengarah Bentley Mulliner.

Pihak syarikat kini menjalankan ujian kejuruteraan rapi sebelum memulakan proses pengeluran. Penilaian kelajuan maksimum mendapati kereta ini boleh mencapai kelajuan sehingga 322 kilometer sejam.


Selain itu, ujian lain yang dijalankan termasuk kestabilan semasa pemanduan kelajuan tinggi, pengendalian dan pemeriksaan bunyi bising dan gegaran.

Selepas ini, sesi ujian akan membabitkan pemanduan di jalan raya untuk memastikan Bacalar mempunyai ketahanan yang mencukupi bagi bakal pemiliknya. Ini termasuk penilaian ketahanan iklim sehingga 80 Celsius dan pengesahan sistem elektriknya.


Bentley dilaporkan sudah ada 12 pembeli untuk 12 unit kereta Bacalar. Setiap satu kereta dikatakan berharga £1.5 juta (RM8.2 juta).