Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahunnya yang ke-100, Bentley melancarkan replika mini berasaskan salah satu model paling eksklusif mereka iaitu Mulsanne W.O. Edition by Mulliner.

Seperti model sebenar, hanya 100 unit model skala 1:43 ini akan ditawarkan dan setiap satu dihasilkan menggunakan fail reka bentuk asal. Ini bermakna ia hadir dengan tahap perincian yang tinggi dan ini termasuk penggunaan cat luaran Onyx dan kemasan dalaman Fireglow.

Selain itu, Bentley turut memperkenalkan model skala Mulsanne Speed dengan spesifikasi yang sama seperti model sebenar yang diperkenalkan di Geneva Motor Show 2016. Ia menampilkan warna badan Julep dengan ruang kabin berwarna Beluga.

Jika Mulsanne bukan model pilihan anda, replika mini Continental GT Convertible juga ditawarkan dan ia boleh didapati dengan warna luaran Sequin Blue dan dalaman Beluga/Linen. Model ini hadir dalam skala 1:43 seperti Mulsanne W.O. Edition by Mulliner dan Mulsanne Speed itu.

Ketiga-tiga replika mini ini dihasilkan di Itali dan setiap unit didatangkan dalam sebuah kotak eksklusif yang sesuai untuk dijadikan sebagai perhiasan meja.

Ditawarkan pada harga bermula £150 (RM810), model-model ini boleh dipesan di shop.BentleyMotors.com.