Antarabangsa
Biarpun Situasi Covid-19, Honda Masih Aktif Dengan Perkenalkan Honda CB-F Concept
Walaupun banyak pengeluar kenderaan di seluruh dunia sedang menggantung operasi akibat penularan wabak Covid-19, ada beberapa jenama yang masih aktif mengeluarkan berita dan perkembangan terkini berkaitan produk mereka.
Selain Ducati yang baru sahaja melancarkan Streetfighter V4 secara dalam talian, Honda juga tidak ketinggalan menggunakan cara yang sama untuk memperkenalkan Honda CB-F Concept.
Seperti motosikal siri CB yang lain, CB-F hadir dengan reka bentuk ‘naked’ dan lampu hadapan berbentuk bulat yang ikonik. Menurut Honda, rekaan model konsep ini diinspirasikan oleh CB900F yang popular pada awal 1980-an.
Walaupun masih bergelar sebagai motosikal konsep, CB-F tampak sedia untuk memasuki fasa pengeluaran bila-bila masa sahaja. Ukuran dimensinya adalah 2,120mm panjang, 790mm lebar dan 1,070mm tinggi.
Penampilan retronya digabungkan dengan enjin moden iaitu enjin penyejukan air (water-cooled) empat silinder sebaris DOHC bersesaran 998cc. Selain itu, ia juga didatangkan beberapa ciri moden lain seperti fork terbalik dan lengan ayun tunggal Pro-Arm yang diperbuat daripada aluminium.
Honda tidak mendedahkan kuasa yang dihasilkan oleh enjin tersebut namun mengesahkan yang ia dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.
Honda CB-F Concept sepatutnya diperkenalkan kepada orang ramai di Osaka Motorcycle Show dan Tokyo Motorcycle Show pada bulan ini namun seperti acara-acara lain, kedua-dua pertunjukan motosikal tersebut telah dibatalkan akibat COVID-19.
Must-Watch Video