Seorang bekas pelumba Formula Satu (F1),Tarso Marques mencipta sebuah motosikal anggun yang dinamakan sebagai TMC Dumont.

Jentera dua roda luar biasa itu menggunakan enjin vintaj pesawat Rolls-Royce Continental V6 sekuat 300hp.

TMC Dumont menggunakan rim tanpa hab dan jejari sebesar 36 inci dan ini adalah roda paling besar pernah dicipta untuk sesebuah motosikal, menurut Marques.

Marques adalah seorang rakyat Brazil dan dia pencipta bagi jentera berkenaan. Rim unik itu membuat jentera berkenaan kelihatan seperti terapung-apung di udara.

Marques menyatakan dia sebenarnya sudah mengimpikan motosikal rekaan sedemikian sejak 15 tahun lalu.

Motosikal ini dibina untuk acara rali Daytona Beach Bike Week ke-77 di Florida dan ia sudah meraih anugerah Best in Show awal tahun ini.

Anak jati Brazil itu memastikan setiap aspek TMC Dumont dibangunkan dan dihasilkan di Brazil. Ini termasuk rekaan casis sehingga proses mengecat rangka jentera tersebut.

Marques berkata, ia suatu projek istimewa yang dia sudah lama impikan iaitu sejak 15 tahun lalu.

“Saya tidak dapat membinanya pada waktu itu kerana ia amat sukar sekiranya tiada bantuan teknologi daripada rakan luar (negara asing).

"Dan saya mahu ini menjadi projek rakyat Brazil 100 peratus, tanpa sebarang pembekal negara asing," katanya.

Marques juga menghasilkan tayar motosikal itu sendiri dan pendek kata, semuanya kustom. Dia tidak mendedahkan kos untuk menyiapkan TMC Dumont atau berapa kelajuan maksimumnya.

TMC Dumont seperti dimaklumkan menggunakan enjin Rolls-Royce dari era 1960-an dan ia dibaik pulih sepenuhnya. Enjin itu biasanya digunakan untuk pesawat ringan seperti Cessna.

Motosikal itu dibina menggunakan beberapa material seperti gentian karbon dan logam aloi termasuk aluminium, manakala casisnya diperbuat daripada aluminium chromium-molybdenum.

TMC Dumont dilengkapi meter laju, sebuah tangki minyak sebesar 16 liter dan tangki simpanan bahan api 8 liter.