BMW Malaysia memperkenalkan jentera coupé empat pintu yang pertama dalam segmen kompak premium, BMW 218i Gran Coupé M Sport di Time Kulture oleh Switch Watch Gallery, iaitu pameran jam tangan Swiss yang berprestij dianjurkan di Pavilion Kuala Lumpur.


BMW 218i Gran Coupé M Sport didatangkan dengan gril ‘kidney’ tunggal dalam rekaan tiga dimensi yang baharu, dipadankan lampu hadapan LED serta lampu kabus LED yang langsing.


Reka bentuk aerodinamik juga membekalkan pusat graviti yang rendah untuk memperlihatkan kedinamikan jentera ini, manakala pintu hadapan dan belakang tidak berbingkai menyerlahkan seni reka bentuknya. Bagi meningkatkan gaya sportynya, gran coupe itu dipadankan rim aloi ringan M bersaiz 18 inci yang dibaluti tayar ‘runflat’.


Bahagian belakang, terletak lampu belakang LED langsing yang dihubungkan oleh jalur hitam berkilat. Gran Coupé baharu ini juga hadir dengan pakej M Aerodynamics sebagai standard berserta dengan Shadow Line BMW Individual berkilat.


Ruang dalamannya pula, Gran Coupé hadir kemasan trim beriluminasi dalam Illuminated Boston dan sumber cahaya LED melalui Lights Package. Stereng kulit M yang berciri multifungsi, kerusi kulit dengan upholsteri Leather Dakota, dan sistem penyaman udara automatik dua zon membekalkan pengalaman pemanduan yang menyelesakan.


Gran Coupé baharu ini turut hadir dengan BMW Live Cockpit Plus yang menampilkan takometer dan meter laju analog, serta skrin 5.1 inci berformat potret 4:3 yang memaparkan butiran seperti kelajuan kereta, status sistem bantuan pemandu dan arahan navigasi. Ia juga dilengkapkan oleh paparan kawalan skrin sentuh 8.8 inci.


Konsol tengahnya merangkumi tuil gear, pengawal iDrive (iDrive Controller), pengawal pemanduan dinamik serta butang ‘push start’, selain didatangkan dengan kemudahan tanpa wayar.


Rekaan khas ‘central tunnel’ membekalkan keselesaan dan ruang yang lebih luas bagi penumpang belakang jika dibandingkan dengan coupé dua pintu yang standard dalam segmen ini.


Ruang muatan kini mencecah 430 liter, iaitu 40 liter lebih lebar berbanding BMW 2 Series Coupe, ia juga boleh ditingkatkan lagi dengan melipat tempat duduk belakang dalam pembahagian 40/20/40.


Bagi prestasinya pula, ia dikuasakan enjin petrol tiga silinder dengan kapasiti 1.5 liter dengan output 140hp dan tork setinggi 220Nm. Gran Coupé baharu ini mampu memecut 0-100km/j dalam masa 8.7 saat dengan kelajuan tertinggi sehingga 213km/j.


Kuasa itu disalurkan ke pacuan roda hadapan melalui transmisi dwiklac Steptronic Tujuh Kelajuan. Penggunaan bahan apinya merekodkan 5.9 liter bagi setiap jarak perjalanan berjumlah 100 km, dengan emisi karbon berjumlah 135 g per kilometer.


Bantuan ditawarkan melalui BMW Personal CoPilot yang menampilkan ciri-ciri kefungsian membabitkan:


BMW 218i Gran Coupé M Sport ditawarkan dalam warna Alpine White, Black Sapphire, Snapper Rock Blue, Storm Bay, dan Melbourne Red. Ruang interior akan dihiasi dengan upholsteri Leather Dakota berwarna hitam dengan sorotan rona biru dan hitam.

Harga jualan atas jalan, tanpa insurans BMW 218i Gran Coupé M Sport baharu dengan Pengecualian Cukai Jualan RM211,367.