BMW Malaysia mengesahkan harga BMW 330Li M Sport yang diperlihatkan secara rasmi pada 9 April 2021 lalu dijual pada RM277,164.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, justeru pengenalan itu, pihaknya turut membuka tempahan bagi ahli terbaharu dalam portfolio kenderaan premium yang dipasang di negara ini.


Menurutnya, kkoran kejayaan yang dicatat di peringkat global dalam enam bulan pertama bagi 2021, pihaknya yakin model BMW 3 Series ‘long wheelbase’ pertama dan dipasang secara domestik ini bakal memenuhi permintaan pelanggan.

“Model berkenaan turut lengkap dengan aplikasi My BMW App yang baharu untuk membekalkan interaksi digital yang lebih diperkayakan antara pemandu dan kenderaan.


“Selain praktikaliti yang disumbang oleh aspek ruang dan keselesaan bertaraf tinggi, tubuh BMW 330Li M Sport baharu yang memanjang juga menyerlahkan reka bentuk elegannya,” katanya.

Berhubung dimensi BMW 330Li M Sport, panjang keseluruhan dipertingkatkan 4,819 mm (+110 mm), manakala jarak rodanya dipanjangkan mencecah 2,961mm (+110 mm).


Bagi melengkapkan penampilan luarannya, ia dipadankan dengan aksesori M Aerodynamics dan M Sport Packages, termasuk set roda aloi Double-Spoke 848 M dwiwarna bersaiz18 inci berserta dengan tayar bercampur dan tayar ‘run-flat’.

Dalam kokpit, ia menggunakan stereng kulit M serta pedal M-specific. Lampu ambien dengan 11 pilihan pencahayaan, penyaman udara automatik tiga zon dan sistem pembesar suara HiFi. Sistem Comfort Access juga ditawarkan sebagai standard bagi menyediakan kemudahan tambahan bagi pemilik jentera BMW 330Li M Sport ini.


BMW 330Li M Sport diberi nafas enjin petrol TwinPower Turbo empat silinder yang mampu menjana output maksimum berjumlah 258hp serta puncak tork berjumlah 400 Nm. Kuasa itu disalurkan melalui transmisi Steptronic Sport.

Pecutan dari kelajuan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 6.2 saat, dan kelajuan maksimum mencecah 250 km/j. Di samping itu, BMW 330Li M Sport merekodkan penggunaan bahan api sebanyak 6.4 liter bagi setiap 100 km, manakala emisi karbonnya berkadar 147 g/km.


Dengan ‘Balloon Financing Plan’ yang ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, BMW 330Li M Sport boleh dimiliki menerusi pelan ansuran bulanan bermula daripada RM3,078 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% bagi tempoh lima tahun).