Antarabangsa
BMW 840i Gran Coupe M Sport Lancar Di Malaysia, Harga Hampir RM1 juta
Akhirnya BMW Gran Coupe dilancarkan untuk pasaran tempatan, namun BMW Malaysia hanya menawarkan satu varian sahaja menerusi 840i Gran Coupe M Sport.
Sebagai coupe sport mewah, BMW 840i Gran Coupe M Sport dilengkapi bingkai gril ‘kidney’ lebih lebar, padanan lampu hadapan laser dengan ciri bantuan lampu puncak dan didatangkan kit BMW M Aerodynamic, selain pakej standard BMW M Sport.
Jentera yang mempunyai tingkap sisi tanpa bingkai itu, turut menonjolkan gaya elegen coupe sport. Di bahagian belakang, ia dipadankan lampu LED bentuk 'L' serta pelitup kaca berkabus dan juga paip ekzos pakej M Sport. Jarak roda coupe itu juga ditingkatkan sebanyak 20 sentimeter yang mana ia ditawarkan set roda aloi ringan 20 inci dua warna.
Dari segi prestasinya, BMW 840i Gran Coupé M Sport dikuasakan enjin TwinPower Turbo sebaris enam silinder yang berkapasiti 3.0 liter yang dikatakan mampu memecut sehingga 250km/j.
Enjin itu menyalurkan output maksimum 340hp dengan tork berjumlah 500 Nm pada 1,600 sehingga 4,500 rpm. Pecutan antara 0-100km/j pula hanya mengambil 5.2 saat dan menjadikan paling laju dalam segmennya. Tahap penggunaan bahan api gabungan mencatatkan 7.9 l/100km.
Kuasa daripada enjin itu tadi disalurkan ke kotak gear Steptronic Sport lapan kelajuan yang mana penukaran gear boleh dibuat dengan padel di stereng.
Ruang dalaman diserlah dengan papan pemuka berkulit, tempat duduk sport berkuasa elektrik serta ventilasi tempat duduk yang aktif untuk pemandu dan penumpang hadapan.
Pencahayaan ambien dengan kecerahan serta warna yang boleh dilaras membantu menetapkan mood ketika memandu, sementara turut dilengkapi penyaman udara automatik empat zon memberikan keselesaan berganda. Ruang muatan yang dibesarkan kini menyediakan kapasiti berjumlah 440 liter.
Sesuai dengan kereta canggih, perkhidmatan digital ditawarkan menerusi BMW Live Cockpit Professional yang digandingkan dengan papar pandu (Head-Up Display) serta BMW Intelligent Personal Assistant untuk membekalkan operasi kenderaan lebih lancar.
BMW Live Cockpit Professional juga menyediakan kluster instrumen 12.3 inci yang boleh disuai dan bersambung dengan Paparan Kawalan skrin sentuh bersaiz 10.25 inci. Ia adalah sistem maklumat hiburan generasi terkini berasaskan Sistem Operasi BMW 7.0 (BMW Operating System 7.0).
Elemen terkini dalam sistem bantuan pemanduan juga melengkapi BMW 840i Gran Coupé M Sport menerusi BMW Personal CoPilot. Ciri-cirinya merangkumi Driving Assistant Professional yang didatangkan dengan Amaran Rentas Trafik di bahagian belakang dan Amaran Penukaran Laluan.
Ia turut meliputi Kawalan Luncur Aktif (Active Cruise Control) dengan fungsi Henti & Mula, Bantuan Had Kelajuan Automatik, Bantuan Stering, Amaran Perlanggaran Hadapan dengan fungsi pembrekan (pejalan kaki dan penunggang basikal).
Selain itu, BMW 840i Gran Coupe M Sport ditawarkan enam warna membabitkan Barcelona Blue, Sonic Speed Blue, Carbon Black, Black Sapphire, Mineral White dan Sunset Orange. Warna berkenaan boleh dipadankan dengan trim kulit BMW Individual dalam pelbagai kombinasi warna seperti Black, Night Blue, Cognac, Tartufo dan Fiona Red.
Ia dijual pada harga RM968,800 atas jalan, tanpa insurans dan dengan penawaran BMW Group Malaysia bagi Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun, Program Servis Berjadual Percuma serta Program Waranti Tayar BMW. Pelanggan juga boleh menempah BMW 840i Coupe M Sport di www.shop.bmw.com.my pada harga RM10,000.