Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Antarabangsa

BMW Group Malaysia Sedia Perkhidmatan Logistik Untuk Saluran Bantuan Makanan

Erywan 12/06/2020 | 07:40 MYT

BMW Group Malaysia terus menyalurkan sumbangan kepada Tenaganita, Refuge for the Refugees, Liga Rakyat Demokratik dan Dapur Jalanan KL dengan sokongan logistik untuk menggiatkan proses pengedaran makanan.

Pengeluar kenderaan premium memberi sokongan kepada empat NGO berkenaan sejak minggu pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membekalkan makanan serta barangan keperluan dua kali seminggu buat warga pelarian dan komuniti penghijrah di Lembah Klang.
Sejak lebih sembilan minggu, sukarelawan dari BMW Group Malaysia menerusi kolaborasi bersama wakil pengedarnya, Quill Automobiles dan Ingress Auto sudah menawarkan bantuan logistik iaitu kenderaan BMW.
Ia dilakukan supaya bantuan dapat dibekalkan kepada keluarga yang terkesan dengan pelaksanaan PKP serta susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di lebih 900 lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor.
Ketua Komunikasi Korporat di BMW Group Malaysia, Sashi Ambi berkata, semangat #KitaJagaKita, pihaknya menzahirkan perasaan rendah diri kerana berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada misi itu bersama Tenaganita, Refuge for the Refugees, Liga Rakyat Demokratik dan Dapur Jalanan KL untuk menawarkan bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik pada waktu yang mencabar berkenaan.
“Kami kagum melihat sukarelawan yang tidak lekang membantu keluarga yang terkesan dengan situasi semasa. Kami berharap sumbangan kami dapat meringankan beban dan cabaran yang dihadapi oleh mereka,” katanya.
Sebagai alternatif, sumbangan juga boleh disalurkan kepada https://www.simplygiving.com/event/bmw-foodrelief.
Bagi setiap RM60 yang disumbangkan, sebuah keluarga lima beranak dapat ditampung dengan bekalan makanan yang asas selama dua minggu. Pek barangan runcit yang dibekalkan merangkumi beras, telur, tepung, minyak masak, ubi kentang, makanan bertin dan sebagainya.

;