Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

BMW i4 - EV Pacuan Roda Belakang, Sekali Cas Boleh Pandu 590 Kilometer

Erywan
08/06/2021 07:07 MYT
BMW terus memperkukuhkan portfolio kenderaan elektriknya, kali ini dengan pengenalan model terbaru yang dikenali sebagai i4. Bakal dilancarkan ke pasaran pada November tahun ini, model ini boleh didapati dalam dua versi iaitu i4 eDrive40 dan i4 M50.

Seperti yang boleh dilihat, i4 didatangkan dalam bentuk yang hampir sama dengan 4 Series (G80) namun ia mempunyai empat pintu. Sebagai satu daripada model BMW i, ia menampilkan aksen biru muda pada bahagian luaran dan dalaman sebagai tanda kepada pacuan elektriknya.


i4 eDrive40 dikuasakan oleh sebuah motor elektrik yang diletakkan pada gandar belakang, secara tidak langsung menjadikannya model pacuan roda belakang. Dengan janaan berjumlah 340PS dan 430Nm, sedan elektrik ini boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 5.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 190km/j.

Sementara itu, i4 M50 pula mempunyai dua buah motor elektrik iaitu satu untuk setiap gandar. Dibantu dengan teknologi Sport Boost, gandingan tersebut memberikan kuasa keseluruhan sebanyak 544hp dan 795Nm. Pacuan semua roda (AWD) membolehkan sedan ia melakukan pecutan 0-100km/j dalam 3.9 saat dan memecut sehingga 225km/j.


Kedua-dua varian berkenaan mendapat bekalan tenaga daripada pek bateri lithium-ion berkapasiti 83.9kWj. Walaupun mempunyai sumber tenaga yang sama, jarak pemanduan yang mampu dicapai adalah berbeza iaitu 590km untuk eDrive40 dan 510km untuk M50.

Dari segi pengecasan, sistem pengecasan pantas 200kW memberikan jarak pengecasan sejauh 164km dalam hanya 10 minit. Pengecasan standard pula mempunyai kapasiti 11kW dan mengambil masa kira-kira 8 jam setengah untuk pengecasan dari 0 hingga 100 peratus.


Sebagai varian yang menjadikan prestasi sebagai fokus utama, i4 M50 hadir dengan kit badan M serta beberapa kelengkapan M Performance di dalam seperti tempat duduk sport, stereng, set pedal dan pelbagai lagi. Bukan itu sahaja, sistem suspensi adaptif M turut disertakan bagi mendapatkan pengendalian yang lebih mantap.

Untuk kelengkapan elektronik pula, i4 dikatakan mempunyai 40 sistem bantuan pemandu termasuk Front Collision Warning, Speed Limit Info dan Lane Departure Warning yang disertakan secara standard. Seperti Porsche Taycan, i4 juga mempunyai sistem bunyi dalaman namun ia lebih istimewa kerana dibangunkan dengan kerja sama komposer terkenal iaitu Hans Zimmer.

#BMW
;