Antarabangsa
BMW M4 Edition M Heritage terhad kepada 750 unit bagi pasaran global
BMW secara rasmi memperkenalkan model edisi terhad M4 Edition M Heritage yang dihasilkan sebagai tribut kepada pembabitannya dalam sukan permotoran baru-baru ini.
Terhad kepada 750 unit bagi pasaran global, M4 Edition M Heritage adalah berasaskan model M4 Coupe (F82) semasa.
Enjin yang digunakan adalah sama seperti versi standard iaitu enjin 3.0-liter twin-turbo enam silinder sebaris yang menjana 444hp dan 550Nm.
Model itu ditawarkan dalam tiga warna sahaja iaitu Laguna Seca Blue, Velvet Blue dan Imola Red. Ketiga-tiga pilihan warna didatangkan dengan bumbung gentian karbon CFRP yang dihiasi dengan jalur warna signatur BMW M.
Menjadikan M4 Edition M Heritage lebih unik adalah rim aloi berukuran 20 inci dalam kemasan Orbit Grey matte yang dibalut tayar dalam saiz 265/30 di hadapan dan 285/40 di belakang.
Di dalam, model berkenaan menampilkan upholsteri kulit dua tona dengan gabungan warna yang berbeza mengikut warna badan. Laguna Seca Blue mendapat upholsteri Silverstone/Black dengan jahitan turquoise, manakala Velvet Blue menampilkan warna upholsteri yang sama tetapi dengan jahitan oren.
Imola Red pula tampil dengan upholsteri hitam dan merah yang dipadankan dengan jahitan kontras berwarna merah dan kuning.
Selain itu, terdapat juga kemasan gentian karbon di keseluruhan papan pemuka lengkap dengan cetakan “Edition ///M Heritage” dan nombor siri, serta jahitan “///M Heritage” pada tempat duduk.
Tawaran terbaru BMW M ini akan membuat penampilan sulungnya di perlumbaan terakhir kejohanan DTM 2019 yang akan diadakan di Nurburgring pada 13 November ini.
Must-Watch Video