Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

BMW M5 2021 - Versi Jahat Untuk Sedan Mewah

Erywan
22/06/2020 08:03 MYT
Tidak lama selepas memperkenalkan 5 Series versi facelift, BMW kini hadir dengan versi berprestasi tinggi bagi sedan itu iaitu M5 dan M5 Competition.


Seperti yang dijangka, model ini mempunyai penampilan yang lebih agresif berbanding model asas. Ini dapat dilihat menerusi jeriji ‘kidney’ yang lebih besar serta rekaan bampar baharu dengan bukaan pada bahagian tengah dan dua lubang ambilan udara pada sebelah kiri dan kanan.


Di belakang, terdapat lampu dalam rekaan tiga dimensi serta diffuser yang menempatkan ekzos berkembar dengan muncung M spesifik. Model tahun 2021 ini juga hadir dengan rim M terkini berukuran 19 inci. M5 Competition didatangkan dengan kemasan krom hitam pada jeriji, lampu belakang, spoiler dan lencana.


Untuk ruang dalaman, M5 dan M5 Competition menerima penambahan butang Setup dan M Mode pada konsol tengah bagi memberikan pemandu akses terus kepada mod pemanduan. Satu ciri eksklusif untuk M5 Competition adalah upholsteri kulit Merino Midrand Beige/Black.


Kelengkapan lain termasuklah skrin sentuh dan panel instrumen digital, masing-masing berukuran 12.3 inci, sistem Live Cockpit dengan iDrive 7, Apple CarPlay, Android Auto serta sistem navigasi berasaskan awan. Turut disertakan adalah barisan sistem keselamatan aktif yang boleh dinaik taraf dengan pakej Driving Assistance Professional.


Walaupun hadir dengan reka bentuk dan kelengkapan terkini, kuasa sedan berprestasi tinggi ini tidak berganjak. Enjin twin-turbo 4.4-liter V8 yang digunakan masih menjana 600PS dan 750Nm bagi M5, atau 625PS dan 750Nm bagi M5 Competition. Gabungan transmisi M Steptronic lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda M xDrive turut dikekalkan.


Masa pecutan 0-100km/j adalah 3.4 saat bagi M5 dan 3.3 saat bagi M5 Competition, manakala kelajuan maksimum yang dihad secara elektronik adalah 250km/j. Jika dilengkapi dengan pakej M Driver, jentera ini boleh memecut sehingga 305km/j.


Sistem suspensi juga tidak mendapat sebarang penambahbaikan, kecuali bagi M5 Competition yang menerima penyerap hentak daripada M8 Gran Coupe. Ini secara tidak langsung menjadikannya 7mm lebih rendah berbanding M5 biasa.

#BMW #M5
;