Antarabangsa
BMW M5 Competition Polis Victoria jana kuasa 625hp!
Kalau nak diikutkan, pasukan polis UAE dan Qatar memiliki barisan kereta peronda yang paling hebat di dunia, namun jiran kita di Australia tidak kurang hebatnya juga dengan model-model berprestasi tinggi seperti Lexus RC F, Audi S7 Sportback, Mercedes-AMG GLE 63 S, Honda Civic Type R dan bermacam lagi.
Terbaru, BMW Australia menyerahkan sebuah BMW M5 Competition kepada Polis Victoria.
Sedan super itu akan dijadikan sebagai peronda lebuh raya bersama-sama dengan model 530d yang aktif berkhidmat sejak setahun lalu.
Kehadiran M5 Competition menjadikan ia model paling berkuasa dalam barisan kereta peronda polis di Australia setakat ini.
Ia dijana dengan enjin turbo berkembar 4.4 liter V8 yang menghamburkan 625hp dan 750Nm, 25hp lebih tinggi berbanding M5 standard.
Dengan bantuan transmisi automatik M Steptronic lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda M xDrive, ia mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 3.3 saat atau 0 hingga 200km/j dalam 10.8 saat.
Jika dilengkapi dengan pakej M Driver, jentera itu berupaya mencapai kelajuan maksimum 305km/j.
Di negara itu, M5 Competition dijual pada harga $229,900 (RM663,723) namun unit terbabit sebenarnya dipinjamkan oleh pihak BMW Australia untuk tempoh 12 bulan sahaja. Jadi kerajaan mereka tidak mengeluarkan satu sen pun untuk kereta berkenaan.
Must-Watch Video