BMW Motorrad Malaysia tawar Program Servis dan Lanjutan Waranti kepada pelanggan baru atau sedia ada
Erywan
09/10/2019 00:05 MYT
09/10/2019 00:05 MYT
BMW Motorrad Malaysia memperkenalkan tiga program penjagaan selepas jualan – Program Inklusif Minyak Enjin, Inklusif Servis dan Lanjutan Waranti buat pelanggan baharu dan sedia ada yang memiliki motosikal premiumnya di Malaysia.
Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, pengalaman pemilikan yang sempurna adalah kunci kepada ekspresi premium yang ingin dizahirkan oleh kenderaan keluaran BMW Group.
“Ia juga adalah cara untuk membezakan produk kami untuk menambah nilai buat pelanggan dalam industri automotif premium ini,” katanya.
Hoelzl menjelaskan bahawa pengalaman pemilikan yang melangkaui fasa pembelian kenderaan adalah mustahak.
Ketua BMW Motorrad Malaysia Owen Riley berkata, program baharu itu adalah yang pertama dalam industri motosikal premium di Malaysia.
“Matlamat kami adalah untuk menjaga kepentingan pelanggan dalam perihal membabitkan penyelenggaraan mereka,” katanya.
Inklusif Minyak Enjin BMW Motorrad
BMW Motorrad Malaysia menawarkan dua pilihan program yang meliputi tempoh tiga tahun (atau 30,000KM) atau lima tahun (atau 50,000KM) bagi program Inklusif Minyak Enjin mereka yang pertama.
Program itu menawarkan servis minyak enjin yang lazim, ia merangkumi penggantian minyak tulen BMW ADVANTEC serta penapis untuk motosikal BMW baharu dan yang berusia bawah 10 tahun.
Rekod penyenggaraan motosikal harus berpandukan servis yang disyorkan serta perlu dibuat di pusat pengedaran BMW Motorrad yang bertauliah di dalam negara untuk menggunakan program ini secara sah.
Inklusif Servis BMW Motorrad
Program Inklusif Servis BMW Motorrad menawarkan servis tambahan yang menjangkaui program Inklusif Minyak Enjin BMW Motorrad.
Dengan Inklusif Servis, perkhidmatan yang ditawarkan merangkumi Pemeriksaan Injap, Pemeriksaan Minyak Fork, Penukaran Minyak Transmisi, Penggantian Palam Pencucuh, Penukaran Bendalir Brek, Penukaran Penapis Udara, Penggantian Tali Sawat CVT, Penukaran Penapis Bahan Api dan Penukaran Minyak Gandar Belakang.
Tawaran program ini juga meliputi tempoh tiga tahun (atau 30,000KM) atau lima tahun (atau 50,000KM), dan ia tersedia untuk motosikal BMW berusia bawah 10 tahun dari tarikh pendaftaran pertamanya.
Rekod penyenggaraan terdahulu bagi motosikal ini juga harus mematuhi tempoh servis yang disyorkan dan dibuat di pusat pengedaran BMW Motorrad yang bertauliah.
Lanjutan Waranti BMW Motorrad
Program Lanjutan Waranti BMW Motorrad menawarkan liputan tambahan ke atas tempoh waranti asal yang diberikan oleh pengeluar kenderaan, ia merangkumi kerja pembaikan menggunakan komponen original BMW.
Program ‘boleh tambah’ itu boleh dibeli sebagai pakej tambahan bertempoh satu atau dua tahun menjangkaui tempoh waranti asal, yang ditingkatkan kepada tempoh standard tiga tahun bagi motosikal BMW yang didaftarkan bermula 1 Januari 2019.
Program itu ditawarkan untuk motosikal baharu dan yang berdaftar melebihi 90 hari dari tarikh pendaftaran pertamanya, namun ia tidak merangkumi penawaran BMW Motorrad bagi program Bantuan Tepi Jalan (Roadside Assistance) yang diperkenalkan pada awal tahun ini.