Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

BMW Perkenal Barisan Kereta Dan Motosikal Keselamatan baharu MotoGP 2021

Erywan
11/03/2021 02:54 MYT
Musim MotoGP 2021 akan membuka tirainya pada 28 Mac ini dengan Grand Prix of Qatar yang akan diadakan di Litar Antarbangsa Losail. Selain pertukaran barisan pelumba yang membabitkan beberapa pasukan bertanding, saingan kali ini bakal menjadi lebih menarik dengan kehadiran barisan kereta dan motosikal keselamatan baharu daripada BMW M.

Dilantik sebagai pembekal kereta rasmi MotoGP sejak 1999, BMW M mengumumkan bahawa mereka akan menggunakan BMW M3 Competition, M4 Competition, M5 CS serta M 1000 RR sebagai kereta dan motosikal keselamatan untuk kejohanan tahun ini. Keempat-empat jentera itu akan membuat penampilan sulung mereka di Grand Prix of Qatar.


Bukan itu sahaja, pusingan Grande Premio de Portugal yang dijadualkan berlangsung di litar Portimao pada 18 April pula akan menyaksikan kemunculan kereta keselamatan M8 Competition dan M8 Competition Gran Coupe, sebuah lagi motosikal keselamatan M 1000 RR serta X5 M yang bertindak selaku kereta perubatan.


Oleh kerana semua kereta keselamatan terbabit dibina berasaskan versi produksi yang sememangnya sudah berpretasi tinggi, hanya beberapa penambahbaikan perlu dilakukan bagi memastikan ia layak digunakan semasa perlumbaan berlangsung. Ini termasuk bar lampu, lampu berkelip pada bampar hadapan, selak bonet ‘quick release’ ala sukan permotoran serta penutupan kuasa kecemasan (emergency power shutoff).


Selain itu, kerusi belakang pada M4 sudah dikeluarkan bagi memberi ruang kepada sangkar keselamatan empat poin. BMW turut melakukan ubah suai pada sistem ekzos M3 dan M4. Dari segi penampilan, BMW M mengambil pendekatan baharu dengan menggantikan warna putih sukan permotoran yang digunakan sebelum ini dengan warna-warna eksklusif yang ditawarkan pada model produksi.


Sebagai contoh, M3 dan M4 masing-masing didatangkan dalam warna Frozen Grey Dark Metallic dan Sao Paulo Yellow, manakala M5 CS pula menampilkan warna Frozen Deep Green Metallic. M 1000 RR pula akan menggunakan skema warna putih dengan jalur warna tradisi BMW M iaitu biru, biru gelap dan merah, sama seperti yang digunakan oleh versi produksi.

#BMW
;