Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

BMW R7 Edisi Terhad, Motor Vintaj Premium Era 30-an - Harga Lebih RM1 juta!

Erywan
25/04/2020 05:03 MYT
Nama penuh motosikal vintaj ini ialah Edisi Terhad Memperingati Ulang Tahun ke-85 BMW R7.

Model berasaskan BMW R7 (1934) itu adalah sentuhan pereka kustom Alex Niznik dari NMoto yang berpangkalan di Florida, Amerika Syarikat. Model eksklusif itu hanya terhad kepada 10-unit dengan harga $250,000 (RM1,092,500).



Idea membangunkan motosikal sedemikian bukanlah baharu bagi Niznik kerana dia sendiri pernah membangunkan motosikal berkenaan tahun lalu sebagai memperingati model berkenaan.

Cuma kali ini dia menghasilkan Edisi Terhad jentera terbabit sempena meraikan warisan 85-tahun berkenaan. Setiap unit motor mengambil masa 4,000 jam pemasangan dan proses keseluruhan mengambil masa setahun buat NMoto untuk mengeluarkan 150 komponen kustom untuk menyiapkan unit terbabit.



Tambahan, bengkel kustom itu menawarkan servis perincian peribadi kepada pemilik. Jadi pelanggan boleh memilih material seperti kulit, meter, kepala silinder dan ukiran panel.

Pelindung silinder disalut dengan bilet, panel sisi, fender dan penutup atas diperbuat daripada platinum dan dikemaskan dengan cat emas merah jambu. Manakala bahagian rim disembur dengan emas manakala pelana ditutupi dengan material kulit Louis Vuitton.



Melengkapkan perincian mewah itu jam Cartier dilekatkan pada tangki minyak. Komponen lain termasuklah penghidup tendang dan gear tangan.

Dari segi teknikal, BMW R7 menampilkan enjin R nineT boxer 1170cc penyejukan udara yang menghasilkan kuasa 110hp dan tork 116Nm. Tren pacuan juga datang dari model R nineT. Niznik berkata enjin berkenaan memiliki peningkatan prestasi dan brek sistem menggunakan jenama Brembo.

;