Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

BMW X3 M Dan X4 M Competition Facelift, Tampak Menonjol Dan Paling Penting Lebih Pantas

Erywan
21/06/2021 03:36 MYT
Selepas dua tahun berada di pasaran, duo SUV saiz pertengahan berprestasi tinggi BMW iaitu X3 M Competition dan X4 M Competition kini diberikan facelift bagi menjadikan ia tampak menonjol di jalan raya dan yang paling penting, lebih pantas.

Kedua-dua jentera terbabit dikuasakan oleh enjin 3.0-liter enam silinder sebaris yang diperkuatkan lagi dengan sepasang pengecas turbo. Walaupun kuasa kuda kekal 510hp, penggunaan aci engkol yang lebih ringan menyaksikan tork meningkat sebanyak 50Nm kepada 650Nm dari 2,750 hingga 5,500 rpm.


Dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan yang menggerakkan roda hadapan dan belakang menerusi pacuan M xDrive, kedua-duanya mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 3.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250km/j. Kelajuan itu dihadkan secara elektronik, namun ia boleh dinaikkan kepada 285km/j dengan memilih pakej M Driver’s.

Sistem suspensi adaptif M Sport adalah standard pada X3 M dan X4 M, begitu juga dengan stereng M Servotronic, mod M Dynamics untuk mereka yang ingin melakukan aksi drift, serta sistem brek M Compound.


Selain itu, kedua-duanya didatangkan standard dengan rim berukuran 21 inci dengan padanan tayar bersaiz 255/40 di hadapan dan 265/40 di belakang. Pelanggan boleh menukar rim standard berkenaan dengan rim tempaan 829M Star Spoke (jimat 2kg setiap unit) atau rim aloi ringan 765M V-Spoke.

Dari segi penampilan, gril ‘kidney’ kini lebih besar dan didatangkan dalam kepingan tunggal, manakala lampu pula dikecilkan sebanyak 10mm. BMW turut menambah lubang udara M Competition berwarna hitam glos pada bahagian sisi, selain mereka semula bampar hadapan dan belakang, di mana terdapatnya sepasang muncung ekzos dalam kemasan hitam krom.


Di dalam, kedua-dua model Competition ini mendapat tempat duduk sport dan konsol tengah seperti yang terdapat pada M3 dan M4. Antara kelengkapan lain yang disertakan adalah BMW Live Cockpit Professional dengan dua paparan digital berukuran 12.3 inci, dan sistem audio Harman Kardon.

Buat pertama kalinya, sistem Driving Assistant Professional yang merangkumi Active Cruise Control dan Parking Assist ditawarkan secara opsyen pada model ini.

#BMW
;