SUV berwarna serba hitam melambangkan status dan kekuasaan seseorang individu itu. Jadi tidak hairanlah jika penawaran terbaru BMW iaitu X7 Dark Shadow Edition ini bakal menjadi rebutan golongan elit.


Menurut BMW, model edisi khas ini bakal memasuki pasaran global bermula Ogos depan namun pengeluarannya akan dihadkan kepada 500 unit sahaja. Ia ditawarkan untuk semua varian X7.


X7 Dark Shadow Edition hadir dalam satu warna sahaja iaitu Frozen Arctic Grey Metallic dan warna ini dipadankan dengan kemasan hitam berkilat pada bingkai tingkap, tiang B dan C serta tapak cermin sisi.


Jeriji ‘kidney’, liang Air Breathers dan muncung ekzos pula dihiasi dengan kemasan krom hitam. Pelengkap imej luaran SUV bersaiz penuh ini adalah rim aloi M berukuran 22 inci yang didatangkan dalam warna Jet Black matte.


Untuk ruang kabin, BMW menggunakan upholsteri kulit Merino dua tona Black/Night Blue pada tempat duduk, panel instrumen, perehat tangan dan panel pintu. Selain itu, papan pemuka menampilkan kemasan Fineline Black dengan perincian aluminium manakala pada konsol tengah pula terdapat trim Piano Black dan logo edisi khas.


Selain itu, setiap unit X7 Dark Shadow Edition juga didatangkan dengan sistem ekzos M Sport. Varian ‘flagship’ dalam rangkaian model terbabit adalah M50i yang dikuasakan oleh enjin 4.4-liter twin-turbo V8 dengan 523hp dan 750Nm.


Pasaran Amerika Syarikat akan menerima kira-kira 75 unit X7 Dark Shadow Edition. Dipasang di kilang BMW di Spartanburg, South Carolina, ia dijual pada harga $119,495 (RM509,347).