Antarabangsa
Boon Siew Honda Memperkenalkan Rebel Versi 2020, Banyak Benda Baru, Harga Bermula RM32,899
Selepas diperkenalkan pertama kali diperkenalkan di Malaysia pada 2017, Honda Rebel adalah motosikal kruiser khas yang mempamerkan gaya bobber klasik.
Namun pada tahun ini, Boon Siew Honda mula memperkenalkan Rebel 2020 sempena acara Cubprix yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.
Motosikal kruiser itu kini dilengkapi dengan lampu LED secara keseluruhan, termasuk lampu isyarat LED baru, lampu utama LED berdiameter 175mm, lampu ekor oval ultra tipis dan lampu plat.
Malah, meter kelajuannya bersaiz 100mm dengan lampu berlatar putih bersama dengan penunjuk gear baru dan paparan penggunaan bahan bakar.
Bagi memberi pilihan kepada bakal pemiliknya, Honda Rebel ditawarkan dengan tiga warna membabitkan Matte Jeans Blue Metallic, Matte Armored Silver Metallic dan Graphite Black.
Dari segi rangkaian kuasanya, ia masih menggunakan enjin 471cc silinder berkembar sebaris sejukan cecair yang diambil dari CBR500R.
Bagaimanapun, pemetaan suntikan bahan bakar PGM-FI baharu dengan larasan injap dan pemasaan pencucuhan yang berbeza mengalih watak berprestasi rpm tinggi CBR kepada output tork tinggi pada julat rendah, dengan penghantaran lancar dan linear pada keseluruhan julat rpm.
Enjin itu menyalurkan 45hp pada 8,500rpm dengan tork setinggi 43.3Nm pada 6,000rpm. Apa yang menariknya, ia kini dilengkapi dengan ciri klac bantu / gelincir klac baharu (new assist/ slipper clutch).
Dari segi pengendaliannya, keselesaan ditingkatkan dengan tempat duduk, fork hadapan dan talaan spring yang lebih baik, sementara suspensi Showa berkembar di belakang kini dibekalkan gas nitrogen dengan getah peredam yang direka bentuk semula untuk tindakan yang lebih tegas.
Rangka keluli tubular yang rendah menyatukan semua ciri ini untuk kedudukan menunggang yang neutral dan seimbang. Harganya pula, ia dijual pada harga RM32,899.
Jika mahu lebih bergaya, ia juga ditawarkan dengan aksesori lain membabitkan Lampu utama 'Cowl', pelindung angin, pad tangki sisi dan tengah, penutup tangki brek hadapan hitam dan banyak lagi.
Mereka yang berminat untuk memiliki jentera ini, anda boleh berkunjung ke pengedar Honda BigWing di Malaysia membabitkan:
- BigWing Geogetown
- BigWing Johor
- BigWing Setapak
- BigWing Petaling Jaya