Lebih satu dekad, akhirnya Nissan akan memperkenalkan generasi Nissan Z baharu yang dikatakan dalam tiga tahun lagi.

Pada bulan lalu, model konsep Nissan Z itu menerusi Z Proto dipertontonkan dan sebelum ia memasuki produksi, Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Makota Uchida sudah pun memandunya.

Dalam video baharu yang dikeluarkan oleh Nissan itu, Uchida memaklumkan jentera itu mengambil inspirasi daripada kabin gaya retro dan sangat cantik. Lampu hadapannya pula diambil daripada inspirasi model 240Z, manakala gril segi empat dan lampu belakang mengimbau bagi model 300ZX.


“Ia sangat hebat, saya sangat seronok dan tidak sabar bagaimana ia akan dihasilkan nanti,” kata Uchida.

Bagaimanapun, masa perjalanan untuk Z Proto menjadi sebuah kenderaan produksi mungkin lama lagi kerana ia dijangka akan dijual pada 2023 nanti.


Di bawah bonet, Z Proto dikuasa enjin V6 turbocharged berkembar yang akan dipadankan dengan gear manua enam kelajuan. Buat masa ini, Nissan masih belum mengeluarkan spesifikasi rasmi buat jentera itu, tetapi ia seakan-akan enjin Infiniti Q50 dan Q60 yang dikatakan mampu menyalurkan 400hp.

Biarpun ia hadir dengan bentuk baharu yang lebih segar, difahamkan ia masih menggunakan platform Nissan 370Z. Ini mungkin kos yang lebih tinggi juga jika mahu membina platform baharu, sedangkan pasaran kereta sport ini adalah terlalu kecil berbanding segmen lain.