Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Brabus B45 - ‘Ni Pun Sedap Juga’

Erywan
15/02/2021 08:02 MYT
Dalam hal menala kenderaan Mercedes-Benz, atau lebih spesifiknya AMG, tidak banyak ‘tuner’ di luar sana yang mempunyai kepakaran yang setanding dengan Brabus. Mana-mana model AMG yang menerima sentuhan syarikat itu pastinya menjadi lebih hebat dan berkuasa. Ini termasuklah penawaran terbaharu mereka iaitu B45.


Namun, jangan salah anggap kerana B45 bukanlah berasal dari B-Class. Sebaliknya, ia adalah A45 S 4Matic+ yang telah dinaik taraf dari segi prestasi dan penampilan, sekali gus menjadikannya ‘hot hatch’ yang lebih berbisa.


Di bawah hud, enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang asalnya menjana 421PS dan 500Nm kini mampu menghamburkan kuasa keseluruhan berjumlah 450PS dan 550Nm. Peningkatan kuasa yang signifikan ini dicapai menerusi pemetaan baharu serta penggunaan unit kawalan PowerXtra CPC, adapter BoostXtra serta saluran kotak udara baharu. Menurut Brabus, adapter tersebut menghasilkan bunyi ‘blow off’ yang begitu digemari oleh kaki kereta.


Dari segi prestasi, masa pecutan 0-100km/j berkurang dari 3.9 saat kepada 3.7 saat, manakala kelajuan maksimum kekal pada 270km/j. Seperti versi standard, kuasa disalurkan ke tanah oleh transmisi automatik klac berkembar lapan kelajuan menerusi sistem pacuan semua roda 4Matic+.


Bagi memastikan ia dapat mengendalikan kuasa yang lebih tinggi itu, Brabus turut menggunakan gegelung sport yang boleh dikurangkan ketinggian sehingga 3cm. Selain itu, B45 turut mendapat rim Monoblock Z berukuran 20 inci yang dibalut tayar Continental bersaiz 255/40.


Perubahan pada ruang dalaman tidak begitu ketara namun sentuhan Brabus masih boleh dilihat pada ‘scuff plate’ pada ambang pintu, pedal aluminium serta karpet. Pelanggan yang inginkan kelaianan boleh memesan upholsteri kulit dalam pelbagai kombinasi warna dan rekaan.


Bagi memastikan ketenangan minda pemilik, Brabus menawarkan waranti selama tiga tahun atau 100,000km untuk setiap pembelian B45.

#Brabus
;