Antarabangsa

Brabus bikin Mercedes-AMG GT 63 S supaya lebih berkuasa

gempak
Erywan
04/06/2019
02:55 MYT
Sponsor Banner
Brabus bikin Mercedes-AMG GT 63 S supaya lebih berkuasa
Seperti yang anda sedia maklum, Brabus memang gemar menjadikan kenderaan Mercedes-Benz sebagai platform untuk menunjukkan kemampuannya dalam bidang talaan.
Produk terbaru syarikat itu dikenali sebagai Brabus 800 dan ia berasaskan model Mercedes-AMG paling berkuasa setakat ini iaitu GT 63 S.
Angka ‘800’ tersebut merujuk kepada jumlah kuasa yang dihasilkan oleh enjin 4.0-liter biturbo V8 model itu. Secara keseluruhannya, jentera sentuhan Brabus ini mempunyai 800PS dan 1,000Nm, iaitu 170PS dan 100Nm lebih tinggi berbanding versi standard.
Ini secara tidak langsung memendekkan masa pecutan 0-100km/j dari 3.2 saat kepada 2.9 saat. Kelajuan maksimum bagaimanapun kekal pada 315km/j. Turut dikekalkan adalah transmisi Speedshift sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic+.
Peningkatan kuasa itu terhasil menerusi penggunaan pengecas turbo yang lebih besar serta talaan pada unit kawalan enjin (ECU). Menurut Brabus, mereka melakukan pelbagai ujian dari atas litar ke jalan raya bagi memastikan jentera ini mampu menampung kuasa yang lebih tinggi.
Seperti kereta talaan Brabus yang lain, Brabus 800 menampilkan tema gelap dengan padanan komponen-komponen gentian karbon seperti splitter hadapan dan diffuser.
Ia memakai rim Monoblock Z Platinum Edition bersaiz 21 inci di hadapan dan 22 inci di belakang. Tayar pula didatangkan dalam saiz 275/35 dan 335/25, serta pelanggan boleh memilih jenama Continental, Pirelli atau Yokohama.
Bagi ruang dalaman, Brabus menawarkan pelbagai jenis bahan dan warna untuk upholsteri, serta kemasan kayu atau gentian karbon untuk papan pemuka. Hiasan ambang pintu dengan logo Brabus yang menyala serta pedal aluminium turut disertakan bagi menghasilkan suasana kabin lebih mewah.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024