Modifikasi

Bukan Biasa-Biasa Isuzu D-Max, Penuh Barang Titanium

gempak
Erywan
18/02/2020
04:58 MYT
Sponsor Banner
Bukan Biasa-Biasa Isuzu D-Max, Penuh Barang Titanium
Budaya mengubahsuai trak pikap di Malaysia sebenarnya tidak pernah sunyi apabila masih ada lagi pemilik kenderaan segmen itu melakukan modifikasi yang cukup menarik.
Kalau ikutkan, segmen ubah suai trak pikap ini sangat popular di Thailand, tetapi ia juga merebak masuk ke Malaysia. Seperti Isuzu D-Max ini, ia sebagai contoh bahawa pengubahsuai pikap trak di Malaysia mempunyai kenderaan yang cantik dan setaraf dengan jentera di negara jiran.
Kenderaan yang anda lihat ini, ia adalah model keluaran 2014, tetapi apa yang membuatkannya sangat berbeza adalah penampilannya. Penampilan jentera itu boleh dikatakan tidak sama dengan Isuzu D-Max yang ada di Malaysia. Ini kerana ia menggunakan komponen Isuzu D-Max versi generasi baharu keluaran 2020.
Versi itu baharu sahaja dilancarkan di Thailand pada tahun lalu yang mana reka bentuknya sememangnya sangat menarik. Buat pengetahuan anda juga, Isuzu D-Max dalam ruangan modifikasi kali ini adalah model yang pertama di Malaysia tampil dengan versi keluaran 2020.
Bagi menghasilkan trak pikap secantik itu, 80 peratus pembinaannya membabitkan luaran dan dalaman dihantar ke Thailand. Proses modifikasi yang dilakukan adalah ketinggiannya selepas direndahkan seperti kereta sedan serta dipadankan rim Volk Racing TE37 Spec II bersaiz 18 inci.
Lebih menarik di belakang rim itu ditukar brek berprestasi tinggi jenama AP Racing dan pada masa sama ia kelihatan padat dengan padanan cakera yang bersaiz besar. Bonet hadapan juga menggunakan material gentian karbon serta dipadankan cermin sisi Craft Square. Selain mempunyai bumbung matahari, ruang kargo belakang diikat dengan bar yang dibuat dari kilang di Thailand sepenuhnya.
Jika lihat pada ruang enjin, ia terlalu bersih dan sangat kemas kerana tanpa kelihatan sebarang wayar, selain diceriakan dengan paip titanium yang dipateri dengan teliti. Enjin itu juga ditambah kuasa dengan sistem turbo F55, intercooler dan intake manifold Meng Sang. Dalam enjin, ia tidak dibiarkan standard apabila menggunakan blok 4JJ1 yang disumbat omboh dan dipegang conrod MRX.
Bagi melancarkan saluran minyak diesel, pam bahan api dan pancitan dinaik taraf kepada jenama Meng Sang serta ECU melakukan pemetaan semula. Buat masa ini, jentera itu dikatakan mampu menyalurkan 420hp. Ruang dalaman tidak kurang hebatnya apabila ia dilengkapi deretan meter Defi, tempat duduk bucket dan papan pemuka gentian karbon.
Bahagian belakang pula, tempat duduk dibuang sepenuhnya dan diletak bar titanium untuk menempatkan tong NOS. Ternyata, trak pikap ini bukannya yang biasa-biasa yang kita lihat. Berapa nilai untuk menghasilkan jentera itu, pemiliknya tidak mahu membuka mulut. Cuma dia memaklumkan bahawa untuk menyiapkan trak pikap itu mengambil masa hampir enam bulan.
Kami boleh katakan, proses modifikasi itu memerlukan pelaburan yang besar dan melebihi RM50,000.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024