Biarpun belum dilancarkan lagi, Prima Merdu Sdn Bhd selaku pengimport tunggal kenderaan Mazda di Malaysia mendedahkan butiran Mazda CX-5 2019 yang dijangka akan tiba di pasaran tidak lama lagi.

Kenderaan utilti sukan (SUV) itu hadir dengan ciri teknologi terbaru yang mampu meningkatkan kemudahan dan keselesaan, selain menawarkan prestasi serta pemanduan lebih stabil.



Bagi keselesaan dan kemudahan kepada penggunanya, Mazda CX-5 2019 kini dilengkapi Apple CarPlay® dan Android Auto® yang didatangkan sebagai ciri standard dan boleh disambung menerusi infotainment MAZDA CONNECT.

Pengguna juga boleh menikmati pengalaman kesambungan lebih lancar dengan mengakses aplikasi bersepadu seperti Waze® / Google® Maps, Spotify®, dan fungsi telefon lain.

Model 2019 itu juga hadir dengan paparan tolok TFT 7.0 inci yang boleh dikonfigurasikan. Bagi varian SKYACTIV-G 2.5L Turbo pula ia didatangkan secara eksklusif Windshield Projection Display.



Meningkatkan kestabilannya pula, semua varian kini dilengkapi dengan G-Vectoring Control Plus (GVC Plus).

G-Vectoring Control adalah teknologi eksklusif Mazda yang membuatkan stereng bertindak balas lebih tepat dan konsisten dengan menggunakan perubahan kecil pada tork enjin untuk mengalih berat kepada tayar depan apabila pemandu memusing roda.

Ciri GVC Plus pula, ia meningkatkan tindak balas stereng ketika pemandu meluruskan stereng, dengan menambah sedikit brek ke roda. Ia akan membantu pemanduan untuk memberi kestabilan kenderaan daripada kemalangan sekiranya tidak sengaja memulas stereng pada kelajuan tinggi dan mengelak secara kecemasan.

Dari segi prestasinya, CX-5 2019 ditawarkan dengan enjin baharu iaitu SKYACTIV-G 2.5L Turbocharged AWD untuk menggantikan SKYACTIV-D 2.2L AWD diesel.

Seperti sebelum ini, ia ada tiga lagi varian yang ditawarkan membabitkan SKYACTIV-G 2.0L dan 2.5L Aspirasi Biasa 2WD dan SKYACTIV-D 2.2 2WD Diesel. Semua varian itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan automatik dan mod manual.



Semua varian kecuali 2.0L 2WD GL didatangkan dengan ciri keselamatan termaju i-ACTIVSENSE yang dilengkapi Monitor Titik Buta (BSM) dengan Rear Cross-Traffic Alert (RCTA), Smart City Brake Support (depan dan belakang).

Bagi memberi pilihan, ia ditawarkan dengan lapan pilihan warna iaitu Soul Red Crystal, Machine Gray, Snowflake White Pearl, Deep Crystal Blue, Sonic Silver, Meteor Gray, Jet Black dan Arctic White.

Buat masa ini, tiada pengumuman harga yang dibuat, namun kami akan maklumkan kepada anda selepas ia dilancarkan secara rasminya.