Antarabangsa

Cantik Kia Optima 2020, Ini Maklumat Yang Kami Tahu Setakat Ini

gempak
Erywan
09/01/2020
06:15 MYT
Sponsor Banner
Cantik Kia Optima 2020, Ini Maklumat Yang Kami Tahu Setakat Ini
Perincian Kia Optima (yang turut dikenali sebagai K5 di Korea) generasi kelima sudah didedahkan secara rasmi oleh syarikat itu. Model ini akan memasuki pasaran-pasaran tertentu bermula Januari tahun ini.
Dari segi reka bentuk, Optima kini tampil dengan rekaan fastback yang lebih sporty, bersama dengan elemen-elemen seperti jeriji hidung harimau, lampu LED pada bahagian hadapan dan belakang serta kemasan krom di sepanjang garisan bumbung. Varian standard hadir dengan rim bersaiz 16 hingga 18 inci, manakala varian GT mendapat rim 19 inci, berserta rekaan bampar yang berlainan, lencana ‘GT’ dan muncung ekzos berkembar.
Optima mempunyai imej yang lebih agresif dan ini dicerminkan melalui saiznya di mana ukuran panjang bertambah sebanyak 50mm kepada 4,905mm, lebar bertambah 25mm kepada 1,860mm, dan tinggi berkurang 20mm kepada 1,445mm. Jarak roda turut bertambah sebanyak 45mm, menjadikan ukuran terkini 2,850mm. Bergantung kepada varian, kabin Optima diserikan dengan upholsteri fabrik, kulit sintetik atau kulit, dengan pilihan warna satu atau dua tona. Papan pemuka pula dihiasi dengan permukaan metalik dan kayu.
Antara kelengkapan yang disertakan adalah kluster instrumen digital 12.3 inci, skrin sentuh 10.25 inci, paparan ‘head-up’ 8.0 inci, sistem Mood Lighting, pengecas telefon wayarles, serta sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara. Optima ditawarkan dengan barisan enjin Smartstream dan buat pertama kalinya, sistem pacuan semua roda. Untuk pasaran Amerika Utara dan Korea, model sedan ini hadir dengan enjin 1.6-liter T-GDi dengan teknologi CVVD yang menjana 180PS dan 265Nm.
Selain itu, ia juga boleh didapati dengan enjin 2.0-liter MPI dengan 152PS dan 192Nm, enjin 2.0-liter CVVL dengan 160PS dan 196Nm, serta enjin 2.5-liter GDi dengan 194PS dan 246Nm. Optima GT pula tampil dengan enjin 2.5-liter T-GDi yang menghamburkan 290PS dan 422Nm, sekali gus membolehkannya memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 6.6 saat. Varian ini mendapat transmisi dwi klac lapan kelajuan, manakala varian-varian lain mendapat transmisi automatik enam atau lapan kelajuan.
Dari segi keselamatan, Optima mempunyai sehingga sembilan beg udara, di samping barisan teknologi bantuan pemandu seperti Forward Collision-avoidance Assist (FCA), Blind-spot View Monitor (BVM) dengan Surround View Monitor (SVM) dan Blind-spot Collision-avoid Assist (BCA), Smart Cruise Control (SCC) atau Navigation-based SCC (NSCC), Lane Following Assist (LFA), Driver Attention Warning (DAW) dan pelbagai lagi.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live