Antarabangsa
Carlex Design Tampil Dengan Ford Ranger Versi Lebih Radikal
Carlex Design sememangnya terkenal dengan rekaannya yang radikal. Kali ini, syarikat talaan yang berpangkalan di Poland itu memperkenalkan kit badan yang dihasilkan khas untuk trak pikap yang popular di benua Asia iaitu Ford Ranger.
Dalam versi standard, Ranger sebenarnya sudah cukup garang namun kehadiran jeriji baharu lengkap dengan logo Carlex Design serta bampar hadapan yang lebih kompleks memberikan trak ini ‘wajah’ yang lebih menggerunkan.
Bukan itu sahaja, gerbang roda yang lebih lebar membuatkan Ranger ini kelihatan lebih berotot, ditambah pula dengan gabungan kit pengangkat (lift kit) dan tayar BFGoodrich All-Terrain yang menunjukkan bahawa ia bukan sebarang jentera.
Bagi meningkatkan kelasakannya, Carlex Design turut memberikan pemijak sisi dan bar ‘rollover’ pada bahagian belakang yang diperbuat daripada tiub besi. Turut disertakan adalah ‘skid plate’ pada bampar hadapan dan bar penunda yang terletak di bawah bampar belakang.
Berlainan dengan luarannya yang lasak, ruang kabin trak ini menampilkan suasana yang mewah dan premium. Ini dibuktikan menerusi penggunaan upholsteri kulit dan Alcantara yang dihiasi dengan jahitan kontras berwarna perak.
Menurut laporan, Ford sedang dalam proses membangunkan Ranger generasi baharu. Namun ia bukanlah satu rahsia yang model berkenaan akan berkongsi platform dengan Volkswagen Amarok. Trak Volkswagen berkenaan mungkin akan hadir pada 2022, jadi terdapat kemungkinan Ranger baharu juga akan diperkenalkan pada tahun yang sama.
Must-Watch Video