Sebuah trak pikap Ford F-350 nampaknya sudah dijual pada harga AS$275,000 (RM1.13 juta) melalui acara lelongan musim luruh oleh syarikat Barrett-Jackson.


Ada dua perkara menyebabkan trak ini mampu mencatat harga jualan luar biasa itu. Pertamanya, ini ialah Ford F-350 Tailgate Party Truck yang dibina oleh satu bengkel kustom, Truck Hero untuk dipamerkan di Pameran SEMA kira-kira dua tahun lalu.


Model sebenar trak ini ialah Ford F-350 Lariat, tetapi menjalani beberapa proses ubah suai termasuk memasang televisyen sebesar 65 inci di bahagian belakang.


Selain skrin tv gergasi itu, trak ini juga menerima sistem audio dan pembesar suara Maxxsonics, dilengkapi satu meja permainan kayu, tong penyejuk Yeti dan gril. Pendek kata, ini sebuah trak untuk anda berpesta bersama rakan-rakan.


Badan trak juga diubah suai dengan balutan tona hitam, dikurangkan berat dan ditambah komponen salutan tembaga seperti rim 24 inci. Enjin dan kotak gear masih standard iaitu jenis 6.7 liter diesel bersama transmisi automatik yang boleh jana 450hp dengan tork puncak 1,268Nm.


Faktor kedua ialah ini satu jualan amal dan semua hasil jualan akan diberikan kepada Pertubuhan Building Homes for Heroes iaitu satu entiti perniagaan yang membantu askar Amerika Syarikat yang cedera di medan tempur di Afghanistan dan Iraq.


Sumber: AutoEvolution