Ford mengesahkan akan memulakan semula produksinya di kilang pemasangan kenderaan dan enjin di Eropah bermula 4 Mei ini.

Ia membabitkan kilangnya terletak di Jerman, Sepanyol dan Romanioa. Namun bagi Kilang Enjin di Valencia, Sepanyol, ia akan bermula operasi pada 18 Mei ini, manakala kilang di United Kingdom akan diumumkan kelak.



Presiden Ford Eropah, Stuart Rowley berkata, pihaknya perlu mempersiapkan persekitaran baharu selepas melewati puncak wabak Coronavirus di Eropah.

“Menjadi keutamaan kami adalah untuk ‘kembali bekerja’ dengan pelaksanaan piawaian Ford global mengenai jarak sosial, kesihatan serta protokol keselamatan di tempat kerja.

“Pekerja perlu tahu bahawa kami mengambil langkah yang sewajarnya untuk menjaga keselamatan mereka di tempat kerja, ”katanya.



Pada peringkat awal, pengeluaran akan bermula pada tahap rendah dengan mengutamakan pesanan kenderaan pelanggan yang sudah dijual daripada pengedar dan secara beransur-ansur meningkatkannya dalam tempoh beberapa bulan sebelum pulih sepenuhnya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pekerja Ford Eropah, Martin Hennig berkata, menjaga kesihatan tenaga kerja adalah keutamaan sebelum memulakan semula pengeluaran.

"Pemimpin kesatuan kami di seluruh Eropah sudah bersetuju dengan langkah-langkah untuk perlindungan dengan sebaik mungkin bagi pekerja kami,” katanya.