Antarabangsa
Covid-19: Pasaran Motosikal Malaysia Mula Pulih
Jualan motosikal di Malaysia merosot teruk selepas semua kedai motosikal dan pengedar menggantung sementara operasi beroperasi sepanjang tempoh Perintah Larangan Pergerakan (PKP).
Saranan duduk di rumah ini cuma memberi kesan jangka pendek kepada industri secara keseluruhan dan industri motosikal Malaysia mula menunjukkan trend pemulihan bermula bulan lalu.
Pasaran motosikal Malaysia kembali berkembang bermula bulan Jun lalu dengan kenaikan 24.5 peratus selepas merudum teruk dua bulan sebelumnya. Enam bulan pertama 2020, jualan motosikal terkumpul mencapai paras 187,444 unit dan merupakan kejatuhan 27.2 peratus berbanding tahun lalu.
Jumlah jualan bagi keseluruhan tahun ini diramal boleh naik ke paras 520,000 unit, itupun jika orang ramai mematuhi semua langkah pencegahan Covid-19. Keadaan pasti jadi lebih buruk jika PKP dikuatkuasakan semula.
Jualan bulan Januari hingga Februari amat positif iaitu naik 22 peratus berbanding tempoh sama selama tiga tahun berturut-turut. Apabila Covid-19 menular di seluruh Malaysia, banyak bisnes mula ditutup dan jualan motosikal mula jatuh sebanyak 43 peratus pada Mac 2020.
Pada April lalu, semua aktiviti komersial ditutup secara rasmi dan tiada satu unit motosikal dijual. Keadaan mula pulih pada Mei lalu apabila kerajaan membuka ekonomi secara berhati-hati dan pasaran motosikal cuma susut 58.6 peratus berbanding 2019.
Jun 2020 menyaksikan sebanyak 42,190 unit motosikal dan skuter dibeli, naik 24.5 peratus. Jadi, sepanjang penggal pertama 2020, hanya 187,444 buah motosikal dijual (-27.2%).
Ramalan industri motosikal Malaysia
Jualan di Malaysia dijangka naik kembali selepas menilai prestasi bulan Jun 2020. MotoCycles Data (Mcd) meramalkan jualan terkumpul 2020 mencapai paras 520,000 unit.
Walaupun ia menurun 5 peratus berbanding 2019, jika ramalan ini berlaku, maka Malaysia mencatat pencapaian kedua tertinggi sepanjang tempoh 10 tahun.
Untuk 2021, pasaran motosikal dipercayai akan naik sebanyak 11 peratus, menjadi tahun paling tinggi jualan dalam tempoh satu dekad.
Perbandingan tahun
Malaysia melalui zaman jualan motosikal negatif antara 2013 hingga 2016, menurun lebih 170,000 unit.
Bermula 2017, situasi makin pulih. Data dibekalkan Persatuan Pengeluar-Pengeluar Motosikal Malaysia pada 2019 hampir menyamai tahun 2013 dengan jumlah jualan 546,813 unit, naik 15.9% berbanding 2018.
Malaysia cuma duduk di ranking kelima jualan tertinggi di rantau Asean tetapi merupakan pasaran ke-14 terbesar di dunia. Pasaran tempatan dikuasai produk import dari Indonesia dan Thailand, dengan ketibaan beberapa pemain asing yang membuatkan saingan lebih dinamik.
Cumanya, lebih 60 peratus pasaran masih dikuasai dua jenama gergasi Jepun iaitu pendominasi pasaran, Yamaha diikuti pencabar terdekat iaitu Honda.
Statistik jualan 2019
Yamaha : 209.403 unit (+11%) dengan 36% pegangan pasaran
Honda : 187.000 unit (+33%)
Kawasaki kekal di tempat ketiga dan diikuti Demak yang berdepan masalah kewangan. Suzuki pula selangkah di hadapan produk Bajaj Auto (Modenas).
Bagi model premium, KTM masih mendahului BMW, Harley Davidson dan Triumph.
Tahun ini, keadaan pasti sukar diramal dengan kejutan Kawasaki Jepun-Modenas, gosip Kawasaki Malaysia-Suzuki selain lambakan rangkaian produk China jenama Itali. Mampukah Yamaha semakin di depan?
Sumber: McD
Must-Watch Video