Kenderaan utility sukan (SUV) kompak, Subaru XV yang turut diperkenalkan di negara lain dengan nama Subaru Crosstrek mempunyai ciri unik iaitu sistem pacuan semua roda.


Dalam dunia ubah suai, mungkin model itu tidak popular berbanding Subaru WRX yang mempunyai banyak komponen selepas jualan untuk meningkatkan prestasi dan karakter.


Namun masalah itu nampaknya mempunyai jalan penyelesaian apabila pakar talaan daripada Amerika Syarikat menerusi Crawford Performance menyediakan komponen untuk naik taraf Subaru XV supaya lebih menarik.


Crawford Performance menawarkan kit ketinggian suspensi supaya Subaru XV lebih tinggi sebanyak 2 inci di hadapan dan 1.5 inci di belakang.


Kit ketinggian suspensi itu diperbuat daripada aluminium yang mana ia dihasilkan menerusi inspirasi jentera lumba Subaru Crosstrek Desert Racer. Biarpun mengubahkan ketinggian itu, ia masih lagi menggunakan kabel brek dan sensor ABS asal kenderaan berkenaan.


Selain itu, banyak lagi aksesori lain yang ditawarkan membabitkan pelindung bampar hadapan dan belakang, bahagian sisi serta sistem peredam ekzos. Berhubung harganya pula, kit ketinggian suspensi itu dijual USD545.95 (RM2,334), manakala aksesori lain boleh mencecah RM2,700.

Barulah nampak garang Subaru XV!