Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Daihatsu Mira L502 diubah suai untuk kegunaan di litar.

Public Anonymous User
04/09/2018 09:20 MYT
Sebenarnya banyak model kenderaan yang tidak dibawa masuk di negara ini. Jika ada sekali pun, mungkin ia adalah diimport khas oleh individu yang mahukan kereta unik dan dia benar-benar berkemampuan.

Sebut apa sahaja model yang datang dari negara matahari terbit itu, pasti mereka akan menunjukkan tanda bagus dan berminat.

Beberapa model kereta di negara kita juga berasaskan dari Jepun contohnya Proton Wira adalah dari Mitsubishi Lancer dan Perodua Kancil pula diambil model Daihatsu Mira.

Berikutan itu, ramai kaki modifikasi akan membeli alat ganti dari kedai potong untuk mengubahsuai jentera mereka supaya kelihatan sama seperti model asal dari Jepun. Ia adalah satu daripada proses yang paling kreatif bagi memastikan jentera tampak lebih sempurna.

Bagi ruang modifikasi kali ini, anda sebenarnya melihat jentera asli Daihatsu Mira L502 yang dibawa masuk khas oleh pihak ZAG.

Ia juga tampak seperti kereta lumba dan sekali imbas seakan-akan seperti Perodua Kancil, tetapi ia mempunyai 2 pintu sahaja di bahagian hadapan.

Jentera itu menggunakan rangkaian kuasa asal bersesaran 660cc dengan kuasa turbo, tetapi enjin asalnya iaitu JB-JL digantikan dengan JB-Det yang berasal daripada Daihatsu Move.

Bahagian enjin itu juga diubah suai dengan menggunakan conrod model JC-Det 713cc bagi memegang omboh Wiseco tempahan khas berukuran 61mm. Ketahanan pergerakan enjin turut dibantu dengan penggunaan gegalas ACL serta stud ARP.

Bahagian blok dan kepala silinder pula diletak pelapik besi yang ditempah khas dari Jepun. Kepala silindernya juga sudah pun melalui proses port & polish dan dilengkapi dengan aci sesondol low degree.

Beberapa ubah suai lain turut boleh dilihat pada ruang enjin itu membabitkan ambilan manifold kustom Toyota 2.0, pendikit badan Toyota 3S, crank sensor binaan khas, ekstraktor banana kustom, turbo TD04L, paip intercooler besi tahan karat berukuran 2.5 inci yang diikatkan bersama intercooler Trilion Sport serta pam bahan api milik Nissan GT-R.

Bagi memastikan suhu enjin ini berada pada tahap yang selamat setiap kali perlumbaan, ia dipasangkan sistem penyejuk yang lebih efisyen. Ia membabitkan penggunaan radiator 4 lapisan rekaan kustom, kipas berprestasi tinggi dari Spal dan thermostat DSport akan membantu segala proses penyejuk lebih sempurna.

Kuasa dari enjin seterusnya disalurkan ke bahagian roda melalui kotak gear dengan ratio 4:3 serta klac OS Giken.

Bagi menguruskan perjalanan enjin yang lebih baik dan terurus, rangkaian kuasa itu digandingkan dengan sistem Unit Kawalan Elektronik Haltech Sprint 500 Stand Alone.

Tahap kestabilan jentera di litar sentiasa berada pada kedudukan yang cemerlang selepas menggunakan suspensi boleh aras GReddy, manakala sistem brek diperkuat dengan penggunaan kaliper Mitsubishi Evolution III.

Ciri keselamatannya dipertingkatkan dengan kerangka keselamatan 6 point asal Daihastu Mira L500 dengan padanan tempat duduk bucket Bride dan dilengkapi stereng OMP berukuran 12 inci.

Pada papan pemukanya dipasangkan dengan meter RPM dan lampu shifter Defi. Deretan meter dari Works turut digunakan merangkumi kawalan suhu minyak dan air, tekanan minyak serta boost.

Penampilan luar tampak lebih hebat dengan penggunaan kit badan Daihatsu Mira L502 membabitkan bampar lebar serta gabungan bonet gentian karbon.

Pada masa sama, ia turut dipasang beberapa aksesori tambahan seperti lampu kristal, eyelips, skirt sisi K-Welds, lampu belakang LED dan cermin sisi Ganador.

Selain itu, semua cermin adalah menggunakan material plastik bagi mengurangkan berat kenderaan serta dilengkapi GT Wing Mira L512 bagi memastikan pemanduan lebih lancar di jalan lurus atau ketika mengambil selekoh.

Akhir sekali, ia menggunakan rim Magroad dibaluti tayar perlumbaan Hankook berukuran 13 inci.

;