Sebahagian besar syarikat talaan Jerman lazimnya menumpukan fokus kepada naik taraf model kenderaan keluaran negara sendiri termasuk Porsche, BMW mahupun Audi.

Namun berbeza pula bagi firma pakar kenderaan GeigerCars yang didapati lebih memberi perhatian terhadap jentera keluaran Amerika Syarikat.


Projek terbaharu mereka ialah Cerberus iaitu transformasi modifikasi radikal membabitkan sebuah Dodge Challenger SRT Hellcat edisi 2019.

Hellcat dikenali dengan janaan kuasa serendah 717hp, tetapi GeigerCars merasakan kuasa itu boleh ditingkatkan dengan sentuhan mereka. Firma itu berjaya menganjakkan kuasa hingga mencecah 890hp.


Angka itu nampaknya sudah memintas kuasa versi Hellcat Demon sebanyak 840hp. Cerberus juga mempunyai kuasa tork sekuat 1,018Nm. Enjin kereta itu masih 6.2 liter HEMI V8.

Rahsia anjakan kuasa itu membabitkan pembaharuan pada komponen pengecas lampau (supercharger) dengan bantuan perisian pemetaan enjin yang sudah dinaik taraf.


GeigerCars memasang rim Devil pada model ini yang dihasilkan khas bagi varian Demon. Rim ini sebenarnya boleh dibeli untuk model Hellcat.

Aspek naik taraf luaran menyaksikan pengenaan kit badan lebar seperti yang ada pada Challenger Redeye.Hud pula menerima gayaan Challenger SRT Demon.


Sistem brek digunakan adalah daripada Brembo dengan angkup enam omboh dengan cakera 391 milimeter (mm) di hadapan dan angkup empat omboh beserta cakera 350mm di belakang. Kos yang perlu dibayar untuk mendapat sentuhan GeigerCars ini ialah €129,000 (RM605,490).

Sumber: GeigerCars