Apa yang sedang anda lihat ini adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) paling berkuasa di dunia iaitu Dodge Durango SRT Hellcat. Ya, jentera ini merupakan model keluaran Dodge ketiga yang menerima versi SRT Hellcat selepas Charger dan Challenger.


‘Nadi’ jentera ini adalah enjin supercharger HEMI 6.2-liter V8 yang mampu menghamburkan kuasa berjumlah 710hp pada 6,100rpm dan 875Nm. Ini bermakna ia mengalahkan Lamborghini Urus yang memegang takhta SUV paling berkuasa sebelum ini dengan 641hp dan 850Nm.


Enjin itu dibantu oleh unit supercharger berkapasiti 2.38-liter yang mampu berputar pada kelajuan sehingga 14,600rpm bagi tujuan memberikan ‘boost’ pada tekanan sehingga 11.6psi. Bagi memastikan ia boleh menampung kuasa dan tekanan yang tinggi, enjin tersebut turut mendapat komponen dalaman yang diperkuatkan seperti omboh yang diperbuat daripada aloi dan aci engkol besi tempaan.


Selain itu, Dodge turut menggunakan sistem penyejukan yang terdiri daripada pam, takung coolant dan penukar haba (heat exchanger) bagi memastikan suhu enjin sentiasa berada di bawah paras 60 darjah Celsius.


Dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang disuaikan dengan sistem pacuan semua roda, Durango SRT Hellcat berupaya melakukan pecutan 0-100km/j dalam 3.5 saat dan pecutan suku batu dalam 11.5 saat. Walaupun mempunyai berat melebihi 2.5 tan, jentera ini boleh memecut sehingga 290km/j.


Disebabkan faktor saiz dan berat, Dodge turut menaik taraf sistem suspensi dan brek. Menurut syarikat itu, cakera Brembo berukuran 15.75 inci di hadapan dan 13.8 inci di belakang berserta angkup enam dan empat omboh membolehkan SUV ini berhenti sepenuhnya dari kelajuan 96km/j dalam jarak 35 meter.