
Donkervoort menawarkan empat jenis pakej naik taraf untuk panel gentian karbon tersebut iaitu
Exposed Carbon, Hyper Carbon Weave, Full-Exposed Carbon dan
Full-Exposed Coloured Carbon.
Bagi Full-Exposed Coloured Carbon, pelanggan boleh memilih beberapa warna untuk panel badan termasuk hijau, merah, biru, kelabu, emas atau kemasan metalik. Ia dijual pada harga bermula 163,636.36 Euro (
RM815,870).
D8 GTO-JD70 adalah model paling berkuasa pernah dihasilkan Donkervoort, dengan
enjin turbo 2.5-liter lima silinder yang menjana 415hp dan 520Nm. Enjin yang diperoleh daripada Audi itu digabungkan dengan transmisi manual lima kelajuan dan
Limited-Slip Differential pada gandar belakang.

Menurut syarikat itu,
jentera ini mengambil selekoh dengan kekuatan lateral mencecah 2G walaupun dengan kelengkapan dan tayar standard keluaran Nankang.

Casisnya terdiri daripada rangka tangga tiub keluli (tubular steel ladder frame) yang diperkuatkan dengan gentian karbon dan aluminium. Rangka ini dipadankan dengan suspensi jenis
double wishbone dan peredam boleh laras Intrax pada gandar hadapan dan belakang.

Kuasa membrek pula dibekalkan oleh cakera Tarox berukuran 310mm dan angkup enam omboh pada bahagian hadapan, dan cakera 285mm dengan angkup omboh tunggal pada bahagian belakang.

Ia memakai rim aloi yang didatangkan dalam saiz 17 inci di hadapan dan 18 inci di belakang. Rim tersebut turut ditawarkan dalam versi
gentian karbon.