Lamborghini sinonim sebagai pengeluar barisan supercar berprestasi tinggi lebih-lebih lagi dengan nada enjin yang ternyata nyaring.

Namun, berbeza pula keadaannya apabila firma automotif itu menjalin kerjasama dengan Master & Dynamic untuk menawarkan aliran muzik bertona akustik.

Kedua-dua syarikat itu kini melancarkan fon kepala versi Lamborghini dengan dua model pilihan iaitu MW65 Active Noise-Cancelling Wireless dan MW07 Plus True Wireless.

Dalam kerjasama itu, Master & Dynamic akan menggunakan produk fon sedia ada mengenakan lencana Lamborghini, skim warna dan beberapa material yang sinonim dengan supercar itu.


Fon kepala MW65 ada tiga kombinasi warna iaitu:

  1. Perak dan kelabu dengan kemasan dalaman kuning Alcantara
  2. Hitam dengan kemasan dalaman kuning Alcantara
  3. Hitam dengan dengan kemasan dalaman kelabu Alcantara


Setiap satu fon kepala ini mengandungi paparan logo pada luar dan dalam bahagian pembesar suara. Fon kepala ini ada dua tahap penyingkiran gangguan bunyi (noise cancelation) dan bateri yang mampu tahan 24 jam.

Sambungan tanpa wayar boleh dibuat pada peranti pintar anda menggunakan sistem Bluetooth 5.0 sehingga jarak 100 kaki atau 30 meter. Bagi mereka yang mahu sistem pendengaran fon kepala yang lebih kecil, Master & Dynamic ada opsyen MW07 Plus.


Produk ini ada pilihan warna :

  1. Putih dengan jalur kuning
  2. Hitam kilat dengan jalur kuning
  3. Hitam kusam dengan jalur kelabu

Semua produk ini akan terima bekas simpanan fon keluli tahan karat sama ada warna perak kusam atau hitam kusam. Fon jenis ini juga ada fungsi penyingkiran gangguan bunyi. Master & Dynamic mendakwa bateri ini boleh tahan sehingga 40 jam sebelum perlu dicas semula.

Fon kepala Lamborghini MW65 dijual pada harga AS$549 (RM2,250), manakala MW07 Plus dikenakan harga AS$349 (RM1,430). Kalau produk sama tanpa logo dan skim warna Lamborghini, Master & Dynamic menjual pada harga AS$499 (RM2,040) dan AS$299 (RM1,225).