Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Antarabangsa

Ducati 1199 Superleggera Jadi Jentera Lumba Vintaj

Erywan 23/06/2020 | 01:14 MYT

Sesetengah motosikal adalah lebih baik dibiarkan dalam keadaan asli, lebih-lebih lagi model koleksi pengumpul seperti Ducati 1199 Superleggera.

Mungkin juga disebabkan harganya sekitar AS$65,000 (RM277,450), tidak ramai pemilik sanggup mengubahsuainya. Tetapi tidak bagi individu bernama Roland Sands.
Beliau yang juga pemilik syarikat komponen dan aksesori motosikal aftermarket dikenali dengan kerja mengubahsuai motosikal termasuk Indian Chieftain menjadi jentera lumba trek dan membina sebuah Yamaha RD400 tahun 1974 jenis dua lejang yang sah atas jalan.
Bekas juara lumba AMA ini berehat seketika aktiviti membina motosikal kustom sehingga tibanya sebuah Ducati Superleggera edisi 2014.
Satu daripada poin jualan unik Superleggera ialah ia lebih ringan berbanding model standard Panigale. Ducati memberikan pakej ‘diet’ pada model Superleggera dengan penggunaan frem monokok magnesium, set rim magnesium, subbingkai gentian karbon dan beberapa komponen titanium.
Bagi Sands, penjimatan berat itu belum mencukupi. Dia mula menanggalkan fairing pada Superleggera hingga menjadi sebuah naked dan menggunakan acuan aluminium untuk menghasilkan tangki minyak serta ekor motosikal berasaskan material gentian karbon.
Tidak cukup dengan itu, Sands menghasilkan bar hendal, madgad depan, perumah skrin meter TFT dan bolong kaliper daripada gentian karbon.
Langkah seterusnya, dia memendekkan sistem eksoz titanium penuh Akrapovic agar selesa diposisikan di bawah subbingkai baharu. Hasil modifikasi ini mengurangkan berat asal Superleggera iaitu 166 kilogram (kg) kepada 152kg.
Proses pengurangan berat pada motosikal ini yang dinamakan sebagai The Super mungkin tidak ketara pada pandangan mata selepas Sands memasang radiator aftermarket dan sistem sejukan Febur untuk mengawal suhu enjin berkapasiti 1,198cc V-Twin semasa diperah hingga tahap maksimum.
Sands memilih untuk mengekalkan semua komponen standard dalam enjin binaan Ducati, kuasa dihasilkan kekal 186hp dengan tork puncak 122Nm.

#Ducati #Superleggera #1199
;