Antarabangsa
Ducati 996 R Edisi Terhad ‘NOS’ Dijual RM108,252
Ducati 996 R keluaran awal 2000 ini ditemui masih lagi dalam kotak di garaj syarikat San Diego, Amerika Syarikat.
Ia masih lagi baharu yang boleh dinilai menerusi brek Brembo dan kaliper 4-piston di depan. Sportbike Edisi Terhad itu memiliki nombor siri ke-390 (VIN – ZDMH200AA1B013847).
Model itu hanya dikeluarkan 500 unit pada 2001 dan Ducati 996 R berkenaan ditemui tersimpan rapi dalam sebuah kotak kayu.
Melihat pada papan pemuka, motosikal itu adalah spesifikasi Eropah kerana meter kelajuan menggunakan unit kilometer dan bukannya perbatuan.
Ducati 996 R menggunakan enjin V-twin yang menghasilkan kuasa 136hp pada 10,200rpm dan tork 105Nm pada 8,000rpm. Lencana R mewakili perkataan Racing dan dipadankan dengan suspensi Ohlin.
Bahkan model itu juga belum lagi didaftarkan kerana difahamkan pemiliknya tidak pernah datang mengambil motosikalnya atas sebab tidak diketahui sebaik 996 R berkenaan tiba di syarikat berkenaan. Maka motosikal itu dibiarkan tersimpan rapi dalam kotak berkenaan sehingga kini.
Berdasarkan syarat kontrak selepas tempoh beberapa waktu pelanggan yang tidak membayar servis dan mengambil harta mereka, barangan berkenaan akan automatik menjadi milik syarikat dan perkara itu terjadi pada 2012.
Jadi jentera itu diiklan untuk jualan dan sudahpun dibeli pada harga $24,900 (RM108, 252).