Antarabangsa
Ducati Lancar Motosikal Paling Cantik Di EICMA 2019, Streetfighter V4
Motosikal super naked, Ducati Streetfighter V4 akhirnya dilancarkan secara global menerusi melalui livestream akibat wabak Covid-19, semalam.
Jentera itu sebelum ini pernah memenangi anugerah Motosikal Paling Cantik pada EICMA pada hujung tahun lalu, ia adalah model kedua Ducati menggunakan enjin V4, selepas Panigale.
Apa yang dijanjikan oleh Ducati Malaysia, jentera itu sudah pastinya akan tiba di negara ini tidak lama lagi. Jadi sebelum itu, ini beberapa perkara yang anda perlu tahu tentang Streetfighter V4.
1. Ia mempunyai posisi hendal yang tinggi dan lebar bagi memberi watak sebenar Streetfighter. Tempat letak kaki juga diubah untuk memberi gaya tunggangan sport, tangkas dan sempurna di jalan raya.
2. Jentera yang mempunyai berat 178kg itu dikuasai enjin 1,100cc Desmosedici Stradale dengan mampu menyalurkan 208hp. Enjin itu menjalani pemetaan semula supaya penunggang boleh mengawal jentera dengan yakin. Bagi kombinasi enjin dan beratnya, ia mencatatkan nisbah kuasa/berat adalah 1:17. Jika mahu kuasa tambahan, guna sahaja ekzos Ducati Performance dari Akrapovic yang boleh menambah 12hp menjadikan 220hp, selain lebih ringan sehingga 6kg.
3. Sirip sisi yang dipanggi biplane bukan sahaja membuatkan ia unik, tetapi mampu memberi daya downforce sebanyak 28kg pada kelajuan 270km/j. Ia sekali gus membuatkan tayar hadapan kurang ‘terapung’ pada kelajuan tinggi dan mengurangkan impak untuk roda terangkat. Selain itu, ia berfungsi untuk memberi kestabilan ketika membrek ketika di selekoh.
4. Jentera itu menggunakan pakej elektronik termaju membabitkan Unit Pengukuran Inersia 6-axis (6D IMU) untuk mengesan olengan, sudut dan putaran tayar. Ia akan mengawal kadar pecutan, brek dan cengkaman bagi membantu kawalan di tengah serta keluar selekoh.
5. Padanan lampu hadapan LED untuk memberi karakter unik untuk Streetfighter V4, yang turut seakan-akan bentuk Panigale V4. Ia juga menerapkan inspirasi senyuman Joker dalam watak komik. Reka bentuk Ducati juga terserlah dengan padanan DRL berbentuk V yang turut digunakan pada Panigale V4 dan SuperSport.
6. Pada masa sama, ia turut ditawarkan dengan varian S dengan banyak ciri menarik membabitkan menggunakan rim Marchesini, suspensi Ohlins dengan kawalan elektrik dan peredam hendal.
Must-Watch Video