Sejak diperkenalkan pada 2014, barisan model Ducati Scrambler semakin mendapat tempat di kalangan peminat motosikal terutamanya mereka yang mahukan gabungan gaya klasik dan prestasi.

Bagi tahun 2020, Ducati ingin memperkembangkan barisan Scrambler dengan memperkenalkan dua varian baharu iaitu Scrambler 1100 Pro dan Sport Pro.

Rekaan retro moden yang ditampilkan pada Scrambler 1100 dipertingkatkan lagi menerusi skema warna baharu yang dikenali sebagai Ocean Drive. Warna dua tona itu dipadankan dengan warna hitam pada rangka Trellis dan sub rangka aluminium.

Ciri-ciri unik lain yang menjadikan motosikal ini kelihatan lebih bergaya adalah paip ekzos berkembar, pemegang nombor plat yang rendah serta lampu utama berbentuk bulat lengkap dengan grafik ‘X’.

Sementara itu, varian Sport Pro pula hadir dengan kelengkapan tambahan berupa sistem suspensi Ohlins, bar hendal rendah dan cermin sisi ala ‘café racer’. Dari segi penampilan, ia boleh didapati dalam warna hitam matte dengan grafik ‘1100’ pada bahagian tangki minyak.

Dari segi elektronik, kedua-dua Scrambler 1100 Pro dan Sport Pro dilengkapi dengan Ducati Traction Control (DTC), ABS Cornering dan mod tunggangan Active, Journey dan City.

Tiada perubahan membabitkan enjin, bermakna model ini kekal dengan enjin 1,079 cc silinder berkembar yang menghasilkan 86hp dan 88Nm. Bagi meningkatkan keselesaan, tempat duduk kini didatangkan dengan salutan baharu.