Tempatan
Edisi terhad Yamaha Y15ZR Doxou dan NVX Doxou, harga mahal sedikit berbanding versi standard.
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) melancarkan varian baharu bagi dua model popularnya iaitu Yamaha Y15ZR Doxou dan NVX Doxou sempena program Karnival Gen Blu di MAEPS, Serdang, Selangor.
Pengenalan dua model itu juga adalah untuk Yamaha memperluaskan segmen motosikal premium dan gaya hidup.
Buat pengetahuan anda, jentera itu sebenarnya sudah dilancarkan secara global di Vietnam pada awal tahun ini.
Yamaha Y15ZR Doxou dan NVX Doxou hadir dengan edisi terhad, selain pemiliknya akan diberikan dengan hadiah lain membabitkan fonkepala, sijil dan keychain.
Dua-dua model berkenaan tampil sedikit berbeza berbanding standard, ini kerana ia lebih bergaya dengan padanan warna biru matte yang diceriakan warna tembaga.
Rimnya diwarnakan biru muda di belakang dan hitam dengan jalur biru di hadapan, selain dilekat dengan pelekat Doxou pada bahagian badan motosikal.
Biarpun tampil berbeza, bahagian enjin serta spesifikasi lain masih lagi sama dengan model Y15ZR dan NVX155 standard.
Bagi Y15ZR, ia menggunakan enjin satu silinder SOHC penyejukan cecair 150 cc dengan menyalurkan 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm.
NVX155 pula dikuasai enjin 155 cc silinder tunggal yang menghasilkan 14.8 hp pada 8,000 rpm dan 14.4 Nm tork pada 6,000rpm. Kuasa daripada enjin itu disalurkan ke transmisi CVT.
Anda boleh menempahnya di pengedar Yamaha berdekatan, tetapi motosikal itu dijangka berada di pasaran pertengahan bulan ini. Harganya pula, Yamaha Y15ZR Doxou dijual bermula RM8,868, manakala NVX155 Doxou akan diumumkan kemudian.
Bagaimanapun, harga standard bagi Y15ZR adalah RM8,168 manakala RM9,988 bagi NVX155 tidak termasuk insurans. Jadi, anda boleh bezakan berapa peningkatan harga bagi Yamaha Y15ZR Doxou itu.
Must-Watch Video