Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Tempatan

Energica Perkenal Motosikal Dengan Perintah Suara

Erywan 01/04/2021 | 02:14 MYT

Sistem teknologi termaju yang didatangkan dalam dunia automotif semakin berevolusi seiring dengan peredaran zaman dan abad.

Jika sebelum ini teknologi era digital perintah suara atau voice command hanya ditawarkan pada kenderaan empat roda, namun sistem itu dilanjutkan ke bidang roda dua apabila Energica mengembangkan teknologi baharu berkenaan kepada produk elektrik terbaharu mereka.
Pengenalan model baharu Energica Eva Ribelle semakin eksklusif menerusi pemasangan kawalan perintah suara. Ketua Pegawai Teknologi (CTO), Giampiero Testoni menjelaskan Teknologi Kawalan Suara terbabit akan menampilkan ciri yang inovatif bahkan penunggang tidak akan terganggu apabila mencari maklumat motosikal dengan mudah ketika menunggang.
Tawaran teknologi berkenaan memudahkan pengguna memecut dan meningkatkan pengalaman menunggang lebih cekap. Jadi pemilik tidak perlu lagi mengubah mod tunggangan menggunakan tombol dan melihat panel instrumen pada papan pemuka cukup dengan hanya mengeluarkan arahan. Misalnya mengubah mod tunggangan, menyesuaikan tetapan suspensi dan lain-lain.
Imej Energica Eva Ribelle yang garang dan berotot itu digabungkan dengan pecutan maksimum 200km/j dengan kuasa 145hp dan tork 215Nm bersama penyejukan minyak. Harga jualan juga tidak murah, ia dijual bermula £19,725 (RM112,553).
Motosikal elektrik premium berkenaan menggunakan bateri litium polymer berkapasiti 21.5 kWh yang kemudian dipadankan dengan ‘segudang’ ciri peralatan keselamatan seperti Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dengan jenis Bosch Switchable, brek terapung Brembo 330mm, kaliper radial 4-piston (depan) dan brek cakera tunggal 240 mm dengan kaliper 2 piston (belakang).

;