Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Evoltis, Adakah Ini Nama Model EV Subaru Yang Dijangka Diperkenal Tahun Depan

Erywan
22/12/2020 02:27 MYT
Subaru dikhabarkan akan memperkenalkan model kenderaan elektrik (EV) pertama bermula tahun depan. Setakat ini, nama sebenar model ini masih belum disahkan oleh pengeluar yang berpangkalan di Jepun itu.

Walaupun belum ada nama rasmi, nama yang disebut-sebut media di Jepun dan diguna pakai banyak laman automotif ialah Subaru Evoltis. Menariknya, Subaru sudah mengesahkan EV pertamannya itu ialah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan akan dijual di pasaran Eropah.


Kenderaan elektrik Subaru ini dibangunkan dengan menggunakan teknologi platform menerusi kerjasama Toyota. Platform itu dipanggil e-TNGA. Ini adalah platform elektrik baharu yang membolehkan pengeluar-pengeluar automotif untuk mereka pelbagai model dan saiz berbeza.


Selain itu, ada opsyen untuk membolehkan pemasangan motor elektrik pada kedua-dua gandar serta kelebihan memasang pek bateri tambahan pelbagai saiz. Selain andaian nama, kenderaan EV ini juga dipercayai akan dipasang sistem pacuan semua roda dengan dua unit motor (setiap satu pada gandar). Kuasanya dikatakan antara 160kW dan 300kW.


Pada Januari lalu, Subaru ada menayangkan satu model konsep elektrik dan memberitahu bahawa model EV akan menyertai barisan pengeluaran komersial jika pihak mereka ada satu rekaan yang berinspirasi daripada konsep itu. Khabarnya, model EV Subaru ini mirip saiz model Forester semasa. Untuk mendapatkan gambaran, Forester ialah 4,625 milimeter (mm) panjang, 1,815mm lebar dan 1,730mm tinggi.


Jika diperhati beberapa tahun kebelakangan ini, Subaru ada perkenalkan model hibrid ringan seperti dalam varian Impreza, XV dan Forester. Syarikat itu sebenarnya mahu mendapatkan sekurang-kurangnya 40 peratus sasaran jualan model elektrik atau hibrid menjelang 2030.

#Subaru
;