Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Ferrari 458 Speciale AddArmor Supercar Kalis Peluru

Erywan
06/01/2021 00:42 MYT
Sekali imbas, Ferrari 458 Speciale ini kelihatan seperti mana-mana 458 Speciale yang lain, namun siapa sangka bahawa supercar Itali berwarna merah yang dihiasi dengan jalur putih biru ini sebenarnya kalis peluru.


Dibangunkan oleh AddArmor, sebuah syarikat dari Los Angeles yang mengkhususkan dalam pemasangan perisai untuk segala jenis kenderaan, 458 Speciale yang ditampilkan ini mempunyai tahap perlindungan yang diklasifikasikan sebagai B4. Ini bermakna ia mampu menahan serangan senjata tangan termasuk peluru pistol Magnum 44.


Menurut syarikat itu, mereka menggunakan bahan kalis peluru khas yang dikatakan 10 kali lebih berkesan dan 60 peratus lebih ringan berbanding keluli balistik.Penggunaan bahan terbabit menambah 70kg kepada berat keseluruhan 458 Speciale, tetapi dengan adanya komponen-komponen gentian karbon yang dipesan daripada Ferrari serta sistem ekzos Capristo, ia meninggalkan kilang dengan berat tambahan hanya 30kg.


Selain itu, sistem ekzos berkenaan turut menghasilkan kuasa tambahan sebanyak 40hp. Ini bermakna enjin NA 4.5-liter V8 yang terletak di belakang kabin 458 Speciale ini mampu menyalurkan sekurang-kurangnya 637hp ke roda belakang. Dengan peningkatan kuasa ini, ia masih mampu memberikan prestasi pecutan yang luar biasa dan pada masa yang sama menangkis serangan penjenayah.


Pakej perlindungan asas seperti ini boleh dipesan pada harga bermula dari $28,000 (RM113,428). Apa yang menarik, segala perisai dan bahan perlindungan dan perisai yang telah dipasang boleh ditanggalkan semula oleh AddArmor sekiranya pelanggan ingin menjual kereta mereka.


Ini bukanlah kereta berprestasi tinggi yang telah diperkasakan oleh syarikat itu. Pada Julai 2019 lalu, ia memperkenalkan sebuah Audi RS7 yang dilengkapi panel badan polikarbonat komposit, tingkap kaca balistik serta beberapa peranti istimewa seperti skrin asap, penyembur lada, senjata sonik dan pelbagai lagi.

#Ferrari
;