Model paling berkuasa dalam segmen convertible, Ferrari 812 GTS atau Ferrari V12 Spider membuat kemunculan di Malaysia menerusi pengimport dan pengedarnya iaitu Naza Italia.


Ia dijanakan dengan enjin V12 yang mempunyai sejarah tersendiri. Dalam sejarahnya, Ferrari V12 Spider sebelum ini sudah memenangi acara perlumbaan berprestij pada tahun 1949 menerusi Mille Miglia dan Le Mans 24 Jam.

Seperti model Grand Troure (GT) Ferrari yang lain, enjin 812 GTS diletak di bahagian depan. Enjin 6.5 liter inspirasi biasa (NA) itu mampu menyalurkan 789hp dengan tork setinggi 718Nm.


Kuasa daripada enjin itu akan disalurkan ke transmisi klac berkembar tujuh kelajuan yang memberi karakter sporty ketika menaik atau menurun gear.

Pada masa sama, enjinnya juga dinaik taraf supaya ia menyalurkan lebih 80 peratus tork pada 3,500rpm untuk meningkatkan prestasi pada rev rendah.


Justeru itu, ia boleh memecut 0-100km/j kurang 3 saat, manakala hanya 8.3 saat untuk pecutan 0-200km/j. Kelajuan maksimumnya pula boleh mencecah 340km/j.

Dari segi reka bentuknya pula, ia direka di Pusat Pengayaan Ferrari dengan mengambil ciri-ciri rekaan seperti 812 Superfast.


Pada masa sama, ia turut mengambil beberapa rekaan model sebelum ini seperti model 365 Daytona buatan 1968.

Bahagian bumbung boleh dibuka dalam tempoh 14 saat dengan kelajuan maksimum 45km/j. Jadi ketika memandu pun, bumbungnya masih lagi boleh dibuka.


Harga asas bagi Ferrari 812 GTS ini adalah RM1.538 juta yang mana ia tidak termasuk cukai. Bagi pengetahuan anda, ini tidak termasuk untuk opsyen lain sama ada bagi pilihan warna unik, kemasan ruang kabin, rim dan sebagainya. Difahamkan, paling minimum untuk opsyen itu bernilai RM200,000.


Pada masa sama, Naza Italia turut mempersembahkan satu lagi model baharu iaitu Ferrari F8 Spider. Ia adalah versi convertible bagi model Ferrari Tributo yang sudah diperkenalkan di Malaysia pada 2018.


Ia juga pengganti model 488 Spider dengan menggunakan enjin 3.9 liter V8 turbo yang menyalurkan 720hp dan tork setinggi 770Nm. Prestasi Ferrari F8 Spider adalah lebih tinggi hampir 50hp berbanding 488 Spider.


Transmisinya juga sangat mantap apabila menggunakan kotak gear klac berkembar Formula Satu dengan tujuh kelajuan. Jadi, ia boleh memecut 0-100km/j dalam 2.9 saat, manakala 8.2 saat untuk pecutan 0-200km/j dengan kelajuan maksimum mencecah 340km/j.


Dari segi harganya, ia lebih murah berbanding Ferrari 812 GTS yang mana dijual RM1.178 juta tidak termasuk cukai.

Untuk ketenangan minda, kedua-dua model itu ditawarkan program penyelenggaran selama tujuh tahun. Setiap kali penyelenggaraan membabitkan 20,000km atau setahun.