Ford menawarkan insentif AS$1,000 (RM4,130) kepada sekumpulan pembeli kereta yang masih menunggu untuk menerima kenderaan masing-masing. Ia sebenarnya bermaksud Ford tiada stok kereta untuk dijual dan memilih untuk bayar pelanggan agar setia menunggu bekalan tiba.

Kelewatan stok kenderaan tiba kepada kumpulan pengedar berpunca daripada masalah bekalan cip semikonduktor global yang dialami kebanyakkan pengeluar lain termasuk di Malaysia.

Portal CarsDirect menyatakan rebat itu dipanggil Sijil Jualan Tempahan Bonus Tunai (ROBCC) dan merupakan pengganti kepada Program Insentif Tempahan Runcit (ROIP) bernilai AS$500 (RM2,065).

Insentif ROBCC diberi kepada pembelian model paling banyak ditempah sehingga 6 Julai ini. Tarikh berkuasa bermulannya program itu dibelakangkan kepada 1 April 2021. Ini bermaksud, jika anda sudah membuat tempahan sebelum ini, anda masih layak menerimanya.

Rebat itu boleh diterima bagi pembeli model Mustang (kecuali Mustang Mach-E), trak pikap F-150 dan Bronco Sport. Rebat AS$1,000 itu adalah tambahan ganjaran ke atas apa jua promosi atau insentif lain ditawar mana-mana pihak pengedar mengikut model terpilih.

Ford juga dikatakan memberi insentif tunai sehingga AS$250 (RM1,032) kepada pengedar terhadap tempahan kenderaan. Program itu dijangka dilanjut sehingga bulan ini.

Di Amerika Syarikat, senario jualan kenderaan agak kritikal disebabkan banyak kilang terpaksa menunggu komponen tiba untuk proses pemasangan lengkap. Ini menyebabkan masalah bekalan kenderaan di pasaran dan kenaikan harga.

Sepanjang bulan lalu, berpuluh-puluh pengeluar automotif menaikkan harga kenderaan melalui dua cara iaitu meninggikan kadar faedah pinjaman dan memotong diskaun pembelian.