Sebuah kereta rali vintaj Ford Escort yang dipandu mendiang Paul Walker dalam siri filem Fast and Furious kini ditawarkan untuk jualan pada harga £80,000 (RM431,490).

Model Kereta Mark I RS1600 tahun 1971 ini digunakan dalam babak lompatan di lebuh raya dan dikejar sebuah kereta kebal dalam Fast & Furious 6.



Ruang dalaman kereta aksi lagak ini memaparkan aplikasi gaya perlumbaan termasuk tempat duduknya. Secara realitinya, kereta ini rosak sepenuhnya dan tidak lagi digunakan dalam babak rakaman filem tersebut di Kepulauan Canary.



Selepas filem Fast & Furious 6 menemui peminat di pawagam pada 2013, kereta ini dipindahkan ke satu simpanan di United Kingdom. Ia kemudiannya dikesan dan dibeli seorang pengumpul kereta.



Pengumpul itu membelanjakan £70,000 (RM377,444) untuk menggantikan hampir semua komponen dalam kereta rosak ini dan mengembalikan keadaan asalnya. RS1600 berbadan biru dengan hiasan jalur perlumbaan putih ini menggunakan enjin 2.0 liter Vauxhall.



Selepas semua kerja baik pulih dibuat, kereta ini cuma dipandu 20 batu (32 kilometer). Kereta ini kini dijual oleh pihak The Classic and Sportscar Centre of West Knapton, North Yorkshire di England.

Pengedarnya berkata, lebih 7,000 pengguna internet sudah meninjau iklan kereta RS1600 ini dalam tempoh satu minggu.


Sumber: The Sun / Universal Pictures / Bournemouth News